KUALA LUMPUR – Malaysia telah memperoleh semula penarafan Kategori 1 Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pencapaian ini membanggakan dan mengucapkan tahniah kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) di atas segala usaha gigih dan komitmen mereka atas kejayaan ini.
Malaysia telah diberikan penarafan Kategori 2 di bawah program IASA pada November 2019 kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selepas penilaian semula pihak berkuasa penerbangan awam negara telah dibuat lebih awal.
Sebagai sebahagian daripada program IASA, FAA menilai pihak berkuasa penerbangan awam semua negara dengan syarikat penerbangan yang menjalankan penerbangan ke Amerika Syarikat atau mengambil bahagian dalam pengaturan perkongsian kod dengan syarikat penerbangan rakan kongsi negara itu.
Penilaian ini bagi menentukan sama ada pihak berkuasa penerbangan awam asing mematuhi piawaian keselamatan ICAO atau tidak.
Penarafan Kategori 1 bermakna pihak berkuasa penerbangan awam negara itu mematuhi piawaian ICAO.
Dengan penarafan Kategori 1 IASA, syarikat penerbangan negara boleh mewujudkan perkhidmatan ke Amerika Syarikat dan membawa kod syarikat penerbangan AS dan untuk mengekalkan penarafan Kategori 1, sesebuah negara mesti mematuhi piawaian keselamatan ICAO.
Sementara itu, penarafan Kategori 2 bermakna negara sama ada kekurangan undang-undang atau peraturan yang diperlukan untuk mengawasi syarikat penerbangan mengikut piawaian antarabangsa minimum, atau pihak berkuasa penerbangan awamnya kekurangan dalam satu atau lebih bidang, seperti kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, rekod penyimpanan atau prosedur pemeriksaan.
Penilaian pada 2019 mendapati CAAM mempunyai 58 penemuan yang mana 25 daripadanya dapat diselesaikan manakala 33 masih terbuka. 33 penemuan ini menyebabkan Malaysia diturunkan kepada Kategori 2 di bawah IASA.
Ka Siong berkata, keputusan penurunan taraf telah diambil secara membina dan langkah-langkah telah diambil untuk membuat perubahan serius pada struktur dan operasi CAAM ketika itu.
”Pasukan petugas, terdiri daripada kakitangan teknikal yang berkelayakan dan pakar industri penerbangan, yang dibentuk oleh Kementerian Pengangkutan mula membantu dalam menyelesaikan 33 penemuan ini.
”Pada tahun 2020 untuk meningkatkan tahap penyelesaian penemuan tersebut, saya melantik Tan Sri Mohd Khairul Adib sebagai Pengerusi baharu dan Datuk Kapten Chester Voo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk menerajui transformasi CAAM bagi tujuan mengukuhkan organisasi dan mendapatkan semula Kategori 1.
“Dua tahun yang lalu merupakan tempoh yang penting bagi CAAM kerana keseluruhan organisasi telah disusun semula sementara pelbagai usaha telah dijalankan untuk memperkukuh tenaga kerjanya, dokumentasi, dan membangunkan dasar latihan yang komprehensif untuk pemeriksa bagi memastikan pengawasan keselamatan yang berkesan dilaksanakan untuk industri penerbangan awam,” jelasnya dalam kenyataan di sini.
Ka Siong menambah, transformasi yang meluas berlaku dalam CAAM di bawah kepimpinan baharu ini bagi mengurus kerumitan operasi dan kawal selia dengan lebih baik.
”Pada tahun 2021, pasukan FAA kembali untuk penilaian semula penuh dan saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa mereka kagum dengan perubahan yang telah CAAM lakukan dalam masa 2 tahun sahaja. Daripada penilaian baharu ini yang berlaku pada bulan Disember, terdapat 29 dapatan secara keseluruhan. 33 penemuan yang diambil pada 2019 telah diatasi.
”Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo dan pasukannya segera memulakan tindakan pembetulan untuk menyelesaikan 29 penemuan ini dalam tempoh singkat enam bulan. Menjelang pertengahan Julai 2022, FAA kembali untuk penilaian semula dan CAAM telah menyelesaikan semua respons untuk 29 penemuan, dan semua pelan tindakan pembetulan telah ditutup,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette