MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disambung reman selama empat hari untuk membantu siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pegawai berusia awal 40-an itu pernah ditahan pada 24 September lalu di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya semasa hadir memberi keterangan dan direman enam hari sehingga Jumaat lalu.

“Reman terhadap suspek yang tamat semalam telah disambung semula selama empat hari bermula hari ini hingga Selasa,” katanya hari ini.

Pada Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah menahan seramai sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanan.

Hasil siasatan awal SPRM mendapati terdapat pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit. – MalaysiaGazette