tempoh enam jam yang diberikan pihak berkuasa untuk majikan mengambil pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah tidak mencukupi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Ding Hong Sing berkata, tempoh enam jam yang diberikan pihak berkuasa untuk majikan mengambil pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah tidak mencukupi.

Beliau berkata, Imigresen sering kali memerlukan masa yang panjang untuk menyemak dokumen pekerja asing yang tiba di Malaysia dan urusan itu selalunya memerlukan lebih daripada enam jam.

Katanya, arahan supaya pekerja asing yang tidak dijemput dalam tempoh enam jam akan dihantar balik ke negara asal merupakan langkah yang menyusahkan pengusaha.

Menurutnya, majikan lazimnya akan menghantar wakil untuk menjemput pekerja di KLIA dan proses itu boleh mengambil lebih 10 jam.

Katanya, proses menunggu yang lama juga memaksa majikan atau wakil mereka untuk menyediakan makanan dan minuman kepada pekerja yang menunggu diambil.

“Imigresen sepatutnya berbincang dengan persatuan perniagaan dan mendengar pelbagai pandangan dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Kami berharap Imigresen akan mengkaji semua keputusan yang dibuat serta mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing ke Malaysia,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Tambah Hong Sing, pihaknya pada masa ini akan “menunggu” memandangkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan telah menyatakan bahawa beliau akan berbincang dengan Imigresen.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia berusaha membantu perusahaan kecil dan sederhana menggaji pekerja asing, tetapi urusan permit kerja dan keluar masuk negara adalah di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri.

“Kami berharap Kementerian Dalam Negeri dapat memudahkan dan menyegerakan pendaftaran dan kemasukan pekerja asing,” katanya. – MalaysiaGazette