TEMERLOH – Keputusan pilihan raya umum yang akan datang akan ditentukan oleh orang muda yang baru pertama kali keluar mengundi.
Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli berkata, ia menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah pilihan raya yang paling penting dalam menentukan jatuh bangun negara ini.
“Demografi pilihan raya kini berubah dengan peningkatan lebih 40 peratus pengundi muda berusia 18 tahun hingga 25 tahun,” katanya dalam program Open Mic Anak Muda Harapan di Esplanade Temerloh malam tadi.
Jelas Adam, perkara itu menjadi peringatan buat sayap pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya lebih berusaha untuk mendekati golongan berkenaan.
“Kalau kita dapat dekati lebih ramai orang muda, gerakkan program-program yang boleh tarik minat dan kesedaran orang muda, insya-Allah kita boleh melangkah ke PRU-15 dengan yakin dan tak mustahil menang dengan lebih bergaya,” ujarnya.
Sementara itu, hujan lebat berserta guruh ketika program Open Mic Anak Muda Harapan di Esplanade Temerloh malam tadi ternyata tidak menjejaskan perjalanan program tersebut.
Terdapat kira-kira 50 orang penyokong parti Pakatan Harapan (PH) hadir tetap setia cuba mendengar ucapan daripada barisan pemimpin parti yang hadir.
Dalam ucapannya, Adam juga mengingatkan mereka tentang Monsun Timur Laut yang bakal tiba di Pantai Timur.
Situasi ini dilihat merupakan gambaran paling tepat apa yang bakal dihadapi parti-parti politik dalam menjalankan kempen Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) di Pahang jika ia berlaku dalam masa terdekat.
“Bagus hujan ini untuk ingatkan kita. Kita berada di Temerloh, kawasan yang paling teruk terjejas kalau berlaku monsun,” katanya.
Jelas Adam, berbeza dengan parti UMNO yang mengadakan perbincangan mahu mengadakan PRU-15 secepat mungkin, AMK pula berbincang cara-cara untuk membantu mereka yang kebiasaannya terjejas akibat banjir.
Katanya, sukarelawan akan digerakkan untuk pengagihan kit persediaan banjir ke lokasi tumpuan meskipun sebelum banjir melanda kawasan tersebut.- MalaysiaGazette