RAUB – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan bercemar duli menghadiri Program Sayangi Sungai Daerah Raub 2022, Longest River Cleaning Up di Kuala Terisai di sini hari ini.
Projek pembersihan Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 kilometer yang disertai baginda itu berjaya memecahkan rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai aktiviti membersih sungai dengan jarak paling panjang di negara ini bermula dari Chegar Bayar ke Jambatan Batu Malim di Raub.
Ketibaan baginda telah disambut para peserta yang terdiri daripada rakyat jelata serta wakil dari pelbagai jabatan termasuk peserta luar negara yang menyertai aktiviti berkenaan yang diadakan sempena sambutan Hari Sungai Sedunia.
Tengku Hassanal seterusnya telah membunyikan hon menandakan perlepasan rakit bagi permulaan proses pembersihan sungai turut melepaskan benih ikan.
Kemudian Pemangku Raja Pahang bersama para peserta menaiki rakit dan mengambil bahagian dalam proses pembersihan sungai itu serta membuat dayungan rakit berakhir di Batu Malim.
Sejurus itu baginda berkenan pula untuk menyempurnakan program dengan menyaksikan persembahan silat, bersantap dan bercemar duli ketika sesi penyerahan sijil MBOR.
Difahamkan sebanyak 841 kilogram sampah dikutip peserta yang menyusuri sungai tersebut menggunakan rakit.
Program diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan sungai sebagai satu sumber penting kepada manusia dan hidupan lain. – MalaysiaGazette