KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka tumbang sekiranya dicabar oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Anwar masih kuat walaupun Mohamed Azmin mendakwa Presiden PKR itu sudah tidak relevan.
“Itu bukan isunya. Anwar masih kuat. Pengalaman amat luas.
“Rasanya Azmin tidak akan mampu bertahan. Dia akan tumbang,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Dalam program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KLS) di Petaling Jaya 28 September lalu, Anwar membayangkan beliau akan bertanding di kerusi yang disandang oleh ‘pengkhianat’.
Walaupun Anwar tidak menyatakan kerusi mana yang bakal ditandinginya, pemerhati politik menjangka beliau mungkin memilih Gombak yang dianggap sebagai salah satu kubu kuat PKR.
Semalam, Mohamed Azmin sambil menggelarkan dirinya ‘anak jantan’ telah melontarkan cabaran kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak.
Mohd. Puad menambah, Mohamed Azmin dijangka sukar mempertahankan kerusinya lebih-lebih lagi jika bertanding atas tiket PN.
“Wajah Azmin atas poster PN jadi samar-samar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, rakyat bukan ingin melihat siapa yang lebih jantan atau lebih relevan antara Mohamed Azmin dan Anwar.
Mohd. Puad berkata, rakyat mahu kestabilan dan calon yang boleh berkhidmat dengan baik.
“Kalau betul mereka berdua bertarung di Gombak, bagi Barisan Nasional (BN) menang lagi baik,” katanya. – MalaysiaGazette