Dewan Rakyat hari ini mengalakkan ahli-ahlinya untuk terus memakai pelitup muka ketika bersidang pada sesi kali ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mengalakkan ahli-ahlinya untuk terus memakai pelitup muka ketika bersidang pada sesi kali ini.

Menurut satu kenyataan, Dewan Rakyat berkata, pemakaian pelitup muka masih diteruskan walaupun penguatkuasaan ke arah itu sudah dimansuhkan kerajaan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat adalah amat digalakkan untuk sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam Dewan Rakyat.

“Ahli-ahli Yang Berhormat boleh untuk membuka pelitup muka ketika berucap di dalam Dewan Rakyat dan memakai semula pelitup muka dengan kadar segera selepas selesai berucap,” kata Dewan Rakyat dalam satu kenyataan hari ini.

Malah bagi memastikan Parlimen bebas Covid-19, proses sanitasi berkala akan terus dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Justeru itu, semua pihak diminta untuk terus peka dan mematuhi tatacara pelaksanaan persidangan Parlimen yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, mesyuarat ketiga penggal kelima Parlimen ke-14 bersidang mulai hari ini sehingga 29 November 2022 selama 32 hari. – MalaysiaGazette