KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menjemput secara terbuka Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berwacana mengenai politik negara dari sudut pandang dua generasi.
Beliau berkata, wacana itu bukan bersifat serangan peribadi atau mengkritik mana-mana pihak sebaliknya lebih kepada pandangan generasi lama dan baharu dalam mencorak politik di negara ini.
“Saya tidak suka perbincangan yang lebih kepada negatif dan provokasi tetapi ia harus dilakukan dalam proses yang sangat matang.
“Kerana itu, saya bersedia untuk bersama-sama dua figura politik ini untuk kita dengar pandangan dan hujah mengenai politik negara,” katanya menerusi program SKOP MG.
Beliau berkata, pentas perbincangan itu nanti, audiens akan mendengar pandangan secara ilmiah lebih-lebih lagi bagaimana Malaysia harus dipimpin agar terus menempa kejayaan di mata dunia.
“Suka saya katakan, Malaysia Gazette adalah (pihak) yang terbaik untuk menganjurkan wacana ini kerana Debat Perdana yang mempertemukan Datuk Seri Najib Razak dan Anwar tahun ini sangat baik tanpa sebarang provokasi.
“Cumanya, saya bukan mahu berdebat tetapi lebih kepada percambahan idea dan lebih ilmiah, itu sahaja.
“Tambahan kita semua dalam rangka menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mana ramai pengundi muda dan baharu akan membuang undi.
“Sangat baik wacana seperti ini memberi pendedahan kepada audiens, bukan mahu mencari siapa benar siapa salah, tetapi seperti saya katakan percambahan idea daripada generasi lama dan baharu,” katanya.
Jelas Isham lagi, peluang yang ada ini harus digunakan sebaik-baiknya oleh pemimpin ‘otai’ politik kerana wacana ini dapat bertukar pendapat dengan generasi baharu sepertinya.
“Saya pasti, ramai nak dengar wacana ini kerana itu saya tawarkan diri mewakili generasi baharu untuk duduk sebaris dengan pemimpin seperti Tun M bagi berkongsi pandangan khususnya terhadap politik negara.
“Ini masa terbaik dan harus diambil peluang oleh Tun agar generasi muda lebih memahami politik negara,” katanya. -MalaysiaGazette