Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bercakap pada sidang media ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan kerajaan akan tetap membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 pada Jumaat ini.

Katanya, ia berdasarkan pemahamannya semasa mesyuarat pra majlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada malam tadi.

“Apa-apa perubahan selepas pukul 10.30 malam tadi saya tidak tahu. Kita ada mesyuarat pra majlis malam tadi, pukul 10.30 saya balik dan saya orang terakhir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya tahu bajet akan dibentang pada 7 Oktober,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin mendakwa kemungkinan pembentangan Bajet 2023 tidak diadakan ekoran pembubaran Parlimen.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, kerajaan memberi jaminan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Julai lalu akan terpakai ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, akta tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti mana dipaparkan di laman sesawang rasmi Istana Negara.

“Ia akan berlaku (kuat kuasa) sebelum (PRU-15). Perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi di hadapan anda (pemberita) dalam tempoh terdekat.

“Saya akan memberi penjelasan lanjut ketika itu,” katanya.

Awal hari ini, Dewan Rakyat memberitahu, Agong telah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, akta lain adalah Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2022, Akta Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2022, Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 dan Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022.

Julai lalu, Akta Anti Lompat Parti diluluskan setelah mendapat undi dua pertiga dengan 209 ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.

Tambah Wan Junaidi, di bawah peraturan Dewan Rakyat dan Parlimen, mana-mana Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dibentang pada kali pertama tidak akan terbatal walau apa pun berlaku dan ia boleh disambung selepas itu.

“Tetapi, tidak ada halangan dan masalah kerajaan atau mana-mana pentadbiran yang baru datang boleh meminda, mengubah atau membatalkannya.

“Jadi dari sudut undang-undang tidak terbatal tetapi boleh dibatal seperti yang berlaku pada 2018,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast