Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini ditangguhkan sekali lagi.

Usul penangguhan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor satu dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini di mesyuarat ketiga akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin seterusnya dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli-ahli dewan.

Ini kali kelima Dewan Rakyat membuat penangguhan itu setelah jawatan tersebut kosong apabila Azalina melepaskan jawatan itu pada 23 Ogos lalu tahun lalu.

Usul menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dibawa kali pertama oleh Wan Junaidi pada 14 September tahun lepas dan pada 25 Oktober lalu diikuti dengan usul oleh Mas Ermieyati pada persidangan 1 Mac lalu.

Kali terakhir usul berkenaan dibawa Wan Junaidi adalah pada 18 Julai tahun ini.

Untuk rekod, Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast