Abdul Hadi dalam dilema antara UMNO dan Bersatu.

PAS mula bergaduh dengan UMNO selepas kedua-duanya berpisah. Masing-masing serang menyerang dan masing-masing mempertahankan diri. Mereka tidak bergaduh ketika bersama. Baik dan seia sekata.

Selepas bermain kayu tiga dengan Bersatu, Pas dan UMNO tidak lagi hidup bersama. Mereka bercerai. Mungkin talak satu, mungkin talak dua, tetapi tidak talak tiga. Maknanya boleh rujuk semula, bila-bila masa mereka mahu.

Punca perceraian kerana Pas telah berlaku curang. Pas bermain kayu tiga dengan Bersatu, iaitu parti yang pada Pas nampak cantik, montok dan boleh dikahwini sebagai bini muda. Akhirnya mereka kahwin dan hidup bersama.

Selepas melayari kehidupan dengan Bersatu, Pas tidak lagi melihat jandanya baik. Serba serbi tak kena. Ada saja keburukan dan kelemahan UMNO di matanya, walaupun jandanya hidup bersendirian.

Biasalah, bila habis manis sepah dibuang. Dulu, UMNO jalan pincang pun nampak elok, sempurna. Selepas hati terpikat pada yang baharu, bini tua buat baik pun nampak buruk.

Namun, akhir-akhir ini Pas dilihat seperti ayam gila sangkak. Selalu mengintai-intai aktiviti jandanya yang sejak bercerai makin lawa, makin berisi dan makin digilai ramai.

Untuk menambat semula hati UMNO, Pas dalam diam-diam cuba memujuk jandanya kembali hidup bersama. UMNO pula jual mahal, bagi syarat, kalau nak rujuk, Pas kena tinggalkan Bersatu.

Kalau tak sanggup tinggal bini muda, baik jangan rujuk. UMNO tak hingin. UMNO boleh hidup bahagia secara solo. Saham UMNO sejak menjanda ni makin hari makin naik. UMNO boleh hidup berdikari walau bersendirian.

Pas tidak berputus asa. Pas cuba juga memikat hati UMNO dengan harapan mereka dapat bertaut semula. Kalau boleh, Pas mahu bawa bersama madunya hidup sebumbung. Bagi UMNO, sorry to say.

UMNO muktamad dengan keputusannya. Syarat itu mesti dipenuhi dan dipatuhi Pas kalau hendakkan hasratnya menjadi kenyataan.

Sebab itu, tidak hairan kalau Pas mula tegur Bersatu yang mengisytiharkan UMNO sebagai musuh utamanya. Pas yang mula terlekat hati kepada UMNO, tidak mahu Bersatu memburuk-burukkan jandanya itu.

Pas juga takut kalau-kalau UMNO beranggapan pengisytiharan Bersatu itu memberi makna Pas juga turut menganggap UMNO musuh utamanya. Maklum, Pas dan Bersatu kan laki bini. Apa kata bini, mesti itulah kata suami.

Pas tidak mahu perkara itu berlaku. Sebolehnya Pas mahu tangani kemelut antara janda dan bini mudanya itu secara baik. Umpama tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terburai.

Tetapi pada Bawah Kolong (BK), usaha itu sudah terlambat. Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang tidak lama lagi. Bila-bila masa dari sekarang. Ada ramalan mengatakan Oktober ini bubar, November ini hari mengundi.

Ada pula meramalkan PRU pada suku pertama tahun depan. Apapun tarikh PRU, Pas sepatutnya gunakan keterbatasan waktu yang bersisa ini untuk menyiapsiagakan jentera parti, bukan menghabiskan masa memujuk UMNO dan Bersatu berbaik. Mereka berdua ini tak mungkin akan bertaut.

Inilah dilema dialami Pas sekarang. Bersatu mereka sayang, UMNO mereka cinta. Dasar pak lebai suka kahwin ramai hanya berlaku dalam dunia nyata, bukan dalam dunia politik, lebih lagi UMNO dan Bersatu.

Lainlah kalau team diketuai Ahmad Zahid Hamidi telah hilang kuasa dan diganti team pro Bersatu. Barulah biduk berlalu kiambang bertaut jadi kenyataan.

Kenapa dalam UMNO ada yang pro Bersatu? Sebab Bersatu bukan parti serpihan DAP atau PKR atau Amanah. Bersatu adalah serpihan UMNO. Mereka yang ada dalam Bersatu adalah kawan yang sama-sama gelak ketawa.

Segelintir daripadanya lompat parti kerana tidak setuju dengan pucuk pimpinan masa itu. Mereka keluar dari UMNO, mereka tubuh parti baharu yang dinamakan Bersatu.

Sebab itu, Bersatu dan UMNO tidak jauh bezanya. Cuma UMNO lebih besar dari Bersatu, yang kini dilihat tidak lagi bersatu seperti mula-mula penubuhannya. Sudah ramai lari masuk UMNO semula kerana sedari perjuangan Bersatu tidak akan ke mana.

Pas pula memilih Bersatu kerana ketika itu Bersatu mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan melantikan beberapa pemimpin memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC.

BK percaya dan yakin, kalau bukan Muhyiddin Yassin Perdana Menteri ketika itu, Pas tidak teringin pun bersama Bersatu, malah akan kekal selama-lamanya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Itulah Pas, nak kata tamak, bukan tamak, tapi itulah permainan politik parti pak lebai. Parti mana dilihat lebih kuat, parti itulah mereka hulur kepala nak berkawan.

Apapun pengakhiran antara Pas dan UMNO, BK ramalkan mereka berdua akan bersama menempuh badai PRU15. Tinggal Bersatu terkontang kanting mencari rakan pakatan baharu untuk dapatkan kemenangan banyak kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast