Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli diingatkan bahawa keputusan kerajaan untuk menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tiada kaitan dengan isu perkauman.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, sebaliknya, siasatan tersebut melibatkan soal integriti dan ketelusan.

Menurut beliau, Tommy dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness mendakwa bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mendalangi tragedi 13 Mei 1969 selain campur tangan dalam pelantikan ketua hakim serta isu kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Kalau hendak tuduh main sentimen perkauman, Tommy lebih sesuai dituduh buat perkara tersebut.

“Tetapi keputusan kerajaan untuk menyiasat Tommy dan respon UMNO kepada keputusan itu, tiada kena mengena dengan perkauman.

“Dakwaan Tommy menimbulkan tanda soal mengenai integriti dan ketelusan institusi Peguam Negara di bawah kepimpinan beliau,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Rafizi dilaporkan menuduh UMNO memainkan isu perkauman dalam siasatan terhadap Tommy ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi dialog di Georgetown, Pulau Pinang.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan mengapa Pakatan Harapan (PH) berdiam diri sedangkan mereka mendabik dada kononnya menjadi juara dalam mendaulatkan undang-undang dan institusi kehakiman.

Shahril menambah, Rafizi telah meminta siasatan dijalankan terhadap projek kapal tempur pesisir (LCS) kerana perkara tersebut melibatkan integriti dan ketelusan sesebuah kerajaan dan beberapa laporan penting telah didedahkan kepada umum.

“Jadi apa salahnya apabila UMNO bangkitkan perkembangan mengenai siasatan pasukan petugas terhadap Tommy?

“Adakah Rafizi merasakan bahawa integriti dan ketelusan dituntut hanya apabila Barisan Nasional (BN) terlibat?” soalnya.

Shahril mendakwa, Rafizi mungkin cuba mereka persepsi bahawa UMNO membangkitkan isu itu kerana Tommy bukan Melayu.

“Ingin ditegaskan, kalau nama dia Taufik, Talib, Tahir dan dia tulis buku sama, pun patut disiasat,” jelasnya. – MalaysiaGazette