Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ‘Sisa Kepada Harta dan STEM’.

TANGKAK – Bahan buangan terutamanya minyak masak diproses untuk menghasilkan sabun organik, manakala sisa plastik diuruskan untuk menghasilkan pelbagai binaan eco-brick.

Aktiviti kitar semula bahan terpakai itu dilaksanakan ketika berlangsungnya program pemindahan ilmu ‘Sisa Kepada Harta dan STEM’ yang bermula pada 1 Jun hingga 21 September 2022 lalu.

Program yang dikendalikan oleh 19 pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama rakan strategik SWM Environment Sdn. Bhd. itu melibatkan penyertaan para pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjong Gading (SKTG) yang merupakan sekolah angkat fakulti tersebut.

Dalam program itu, 246 pelajar SKTGP turut didedahkan dengan ilmu berkaitan tenaga solar dan motor arus terus.

Mereka diberi peluang membina kereta yang bergerak menggunakan tenaga solar dan angin, sebelum dipertandingkan dalam perlumbaan kereta sesama mereka.

 

Produk sabun yang dihasilkan oleh para pelajar.

Majlis perasmian penutup yang diadakan pada 21 September 2022 telah disempurnakan oleh Timbalan PPD Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak, Rosman Sairi.

Pada masa yang sama, watikah pelantikan SKTG sebagai sekolah angkat FTK UTHM turut diserahkan kepada pihak sekolah oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Nofrizalidris Darlis.

Turut hadir, Pegawai Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan SWM Environment Sdn. Bhd., Muhamad Bakhtiar Azni.

Menurut pengarah program, Sumaiya Mashori yang juga penceramah penghasilan sabun daripada minyak sawit terpakai, program itu juga berjaya memupuk kesedaran pelajar tentang penjagaan alam sekitar.

“Buktinya program ini berjaya mengumpul 617.5 kilogram (kg) barang kitar semula merangkumi 489.5 kg kertas, 91.5 kg plastik, 34.3 kg tin dan 2 kg kaca.

“Dalam tempoh 16 minggu pelaksanaan program, komuniti SKTG telah berjaya mengumpul sebanyak 254 botol eco-brick daripada sisa plastik dan menghasilkan binaan replika bunga raya daripada 232 botol yang dikumpulkan,” katanya.

Sementara itu, booth pameran sabun pula berjaya memperoleh sebanyak RM91 hasil jualan produk sabun yang dihasilkan daripada minyak sawit terpakai.

Program ‘Sisa Kepada Harta’ ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar sampah, memudahkan proses kitar semula serta mendidik masyarakat bermula dari peringkat sekolah rendah sekali gus membantu pihak SKTG mencapai hasrat penglibatan dalam Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC),” katanya. – MalaysiaGazette