Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, Datuk Halidan Md Daud.

KUANTAN – Sebanyak 51 buah sekolah di negeri ini telak layak menerima manfaat wakalah dengan amaun keseluruhan sebanyak RM150,000.

Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, pemulangan semula wang zakat kepada semua sekolah terpilih itu merupakan hasil tuntutan pertama yang dibuat pada bulan September lalu yang diluluskan.

Menurutnya, Majlis Ugama Islam Dan adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah meluluskan skim pemulangan semula zakat potongan gaji yang dibuat oleh kakitangan sekolah jika menepati kriteria yang disyaratkan.

“Syarat yang melayakkan sesebuah sekolah menuntut pemulangan semula wang zakat 90 peratus kakitangan muslim berzakat melalui potongan gaji.

“Jumlah amaun bulanan melebihi RM1,000 bagi sekolah rendah manakala amaun melebihi RM2,500 bagi sekolah menengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Halidan, pemulangan diperolehi boleh dimanfaatkan untuk diagihkan kepada asnaf di sekolah masing-masing.

“Ia juga diagihkan kepada pelajar-pelajar miskin, pelajar mualaf dan kelas fardu ain mualaf serta penyelenggaraan bagi kelengkapan surau sekolah selain aktiviti keagamaan dan kerohanian,” katanya.

Sementara itu, Halidan juga berpuas hati dengan prestasi kutipan zakat seluruh negeri Pahang Yang berada di landasan yang baik setelah melangkaui suku ketiga bagi tahun 2022.

Jelasnya, prestasi terkini menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak 26.5 peratus iaitu kutipan meningkat RM25.3 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021.

Selain itu, katanya, bilangan pembayar zakat juga meningkat sebanyak 3,614 orang berbanding tahun 2021.

Sehingga 30 September lalu, seramai 89,811 pembayar zakat harta telah menunaikan kewajpan dengan amaun berjumlah RM121.1 juta berbanding dalam tempoh yang sama bagi tahun 2021 hanya melibatkan seramai 86,197 orang telah menunaikan zakat harta dengan jumlah RM95.6 juta termasuk badan-badan korporat

Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah daripada sektor potongan gaji laitu sebanyak RM49.7 juta diikuti dengan bayaran zakat perniagaan termasuk badan-badan korporat.

Ia melibatkan sumbangan sebanyak RM34.4 juta dan kategori zakat wang simpanan iaitu sebanyak RM 18.7 juta. – MalaysiaGazette