Datuk Dr. Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU – Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat  bukan keputusan yang tepat dan sesuai pada ketika ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Sahruddin Jamal berpandangan sekiranya berlaku, ia jelas menunjukkan Perdana Menteri gagal meletakkan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat.

Sebaliknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya menurut kehendak partinya dan membuktikan aspirasi Keluarga Malaysia sekadar retorik semata-mata.

“Pembubaran Parlimen tidak seharusnya berlaku kerana keputusan, desakan, arahan atau isyarat daripada UMNO yang berada dalam kerajaan pada hari ini.

“Perdana Menteri sewajarnya rasional dalam soal pembubaran Parlimen serta PRU-15 selain tidak membuat sebarang keputusan kerana ditekan atau dipengaruhi oleh partinya sendiri.

“Negara sedang berhadapan dengan musim tengkujuh dan banjir. Di Johor, tiga daerah iaitu Kluang, Pontian dan Kulai telah dilaporkan terjejas dengan banjir yang melibatkan lebih 250 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Sahruddin, tidak mustahil keadaan akan lebih buruk susulan hujan lebat berikutan Monsun Timur Laut (MTL) diikuti faktor lain seperti masalah saliran dan perparitan serta permukaan muka bumi.

“Kejadian banjir menghadirkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada rakyat,” jelasnya.

Justeru, Bersatu Johor menyarankan agar kerajaan terus bersiap siaga bagi menghadapi musim banjir pada penghujung tahun selain mengingatkan Perdana Menteri pentadbirannya bukanlah dikuasai UMNO secara total.

“Tunjukkanlah kewibawaan dan ketegasan sebagai perdana menteri dan elakkan daripada terus berteka-teki yang akhirnya menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengharapkan perdana menteri agar tidak mencampuradukkan urusan pentadbiran kerajaan dengan sebarang keputusan partinya.

“Bersatu Johor turut merafak sembah memohon Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan nasihat perdana menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette