Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa sesi lawatan pelaksanaan Proof Of Concept (POC) penghasilan gigi palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D ketika di Klinik Pergigian Botanik, Bandar Botanik, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 04 OKTOBER 2022.

KLANG – Klinik Pergigian Bandar Botanik, dekat sini dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur antara dua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) yang dalam proses Proof of Concept (POF) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Denture) menggunakan teknologi 3D.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, projek itu yang pertama seumpamanya dijalankan di peringkat KKM bagi memperkenal dan mendedahkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota kementerian serta mempercepatkan penghasilan dentur untuk Keluarga Malaysia.

Projek itu, kata beliau, bermula pada 15 Ogos lalu dan akan dilaksanakan selama tiga bulan sehingga 15 November ini.

“Pada 2020, empat dari 10 pesakit warga emas atau 44 peratus, datang ke fasiliti KKM untuk memperolehi gigi palsu dan tempoh dua bulan atau lapan minggu.

“Sehingga kini, semua 531 Makmal Pergigian KKM masih menghasilkan gigi palsu secara konvensional atau manual kepada rakyat.

“Bagaimanapun, melalui projek dentur ini, dijangkakan penghasilannya pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Klinik Pergigian Botanik di Bandar Botanik, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM, Dr. Noormi Othman dan Pegawai Pergigian, Dr. Cecilia Mariasossay.

Menurut Khairy, kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur dapat dikurangkan kepada dua kali berbanding lima kali lawatan melalui kaedah manual.

Jelasnya, bagi tujuan pelaksanaan POC projek rintis itu, KKM telah menandatangani Nota Persefahaman dengan dua syarikat swasta yang menggunakan teknologi 3D dalam penghasilan gigi palsu pada 15 Ogos lalu.

“Melalui Nota Persefahaman ini, kedua syarikat berkenaan menempatkan peralatan dan perisian teknologi 3D serta pegawai pelatih di fasiliti kesihatan pergigian KKM untuk melatih anggota pergigian secara bersemuka.

“Ini akan memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan kesesuaian dan kesediaan fasiliti kesihatan pergigian sedia ada dalam penerimaan teknologi baharu berkaitan penghasilan dentur kepada rakyat.

“Teknologi 3D ini tidak memerlukan ruang kerja yang luas kerana ia menggunakan peralatan minimum dan bersaiz kecil berbanding peralatan di makmal konvensional serta memberikan lebih keselesaan bekerja kepada anggota pergigian kerana kurangnya penghasilan debu ketika proses gigi palsu,” ujarnya. – MalaysiaGazette