KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur ditetapkan kerajaan.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, tidak ada satu minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft sebagai syarikat pembangun aplikasi tersebut.
“Tiada sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan tersebut. Satu-satunya dokumen adalah NDA (dokumen perjanjian kerahsiaan) yang ditandatangani antara MKN (bagi pihak kerajaan) dengan KPISoft.
“Konsep CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” kata Kah Woh dalam kenyataan terbabit.
Antara yang dipanggil adalah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh.
Turut dipanggil adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Seri Dr. Yusof Ismail dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Rahamzan Hashim pada 14 April dan 21 April lalu.
Kah Woh berkata, pelantikan KPISoft pada Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.
Katanya, penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep CSR.
Untuk rekod, kerajaan didapati masih belum mendaftarkan harta intelek bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO setakat April 2022 lalu.
Tindakan itu boleh menyebabkan aplikasi ini dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi.
Kah Woh berkata, PAC telah mengesyorkan kerajaan supaya menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus yang dibuat melalui Jemaah Menteri bertarikh 27 November 2021.
“Kerajaan harus mengambilalih keseluruhan aplikasi berkenaan melalui MAMPU. Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih prudent dalam segala proses perolehan. Segala tawaran melalui CSR adalah dialu-alukan.
“Bagaimanapun, terma-terma berkenaan dengan tawaran CSR harus dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus. Garis panduan hendaklah diwujudkan untuk tadbir urus tawaran CSR,” cadang Kah Woh lagi.
PAC sebelum ini mendedahkan aplikasi MySejahtera yang awalnya bertujuan memudahkan proses pengesanan kontak rapat dibangunkan tanpa kontrak antara kerajaan dan syarikat yang membangunkan aplikasi itu.
Jawatankuasa itu turut mempersoalkan pengambilalihan aplikasi MySejahtera oleh MySJ Sdn Bhd daripada KPISoft yang kini dikenali sebagai Entomo Malaysia.
Kah Woh sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, pada 21 September tahun lalu, kerajaan menerusi jawapan di Dewan Rakyat antara lain menyatakan aplikasi MySejahtera bermula sebagai program CSR dan tempoh setahun itu berakhir pada 31 Mac lalu. – MalaysiaGazette