1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa pihaknya tidak menyembunyikan surat yang mengandungi transaksi berjumlah hampir AS$180 juta yang dijanjikan Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya tidak mengemukakan dokumen yang berupa empat pucuk surat itu dalam kes 1MDB kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan kes itu.

Sri Ram yang kecewa dengan tindakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengadakan sidang media di lobi mahkamah semalam berkata, tindakan pasukan pembelaan bekas Perdana menteri itu merupakan serangan kepada pihak pendakwaan.

“Tertuduh sedang dibicara ketika ini dalam mahkamah bukanlah di depan orang ramai. Semestinya pendakwaan tidak boleh menjawab apa-apa persoalan kepada media di luar mahkamah.

“Saya harap mahkamah mempertimbang perkara ini kerana tidak sesuai bagi pihak pendakwaan menjawab sebarang dakwaan yang dikemukakan di luar perbicaraan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada prosiding penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, di sini, hari ini.

Berhujah lanjut, Sri Ram berkata, surat-surat tersebut  telah dikemukakan ketika perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. namun bukti tersebut ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersama hakim Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan. 

Menurut beliau, pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya pihak pembelaan mengadakan sidang media.

“Mereka tidak boleh membicarakan kes ini dalam media. Jika mereka teruskan juga, saya akan memohon kepada mahkamah untuk menghalang perbincangan ini,” ujarnya.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media mengenai isu kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 OKTOBER 2022.

Collin kemudian menetapkan esok bagi pembelaan iaitu Muhammad Shafee sendiri memberikan penjelasan dan hujahan beliau berhubung perkara itu sebelum apa-apa keputusan di ambil mahkamah.

Semalam, Muhammad Shafee yang mengetuai prosiding pembelaan melahirkan rasa hairan mengapa pasukan pendakwaan tidak mendedahkan tentang surat-surat derma yang mencecah RM2.3 bilion.

Kandungan surat itu menyatakan secara terperinci tentang butiran derma yang diberikan kepada Najib selaku Perdana Menteri yang mentadbir sebuah negara berbilang kaum dengan ajaran Islam secara sederhana dan bukan ekstremis.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette

Kenapa pendakwa tak dedah lima surat derma Arab? – Shafee