Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu mendengar nasihat sesiapa mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, malah Perdana Menteri tidak perlu mengadakan perbincangan dengan sesiapa untuk menetapkan cadangan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kalau kita lihat Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan ditakbir oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di mana baginda tidak mentadbir sendiri dan menerusi jemaah menteri dan sebelum menjadi jemaah menteri, YDPA perlu melantik PM dahulu.

“Selepas melantik PM, dia (PM) akan mempengerusikan jemaah menteri, jadi maknanya kuasa jemaah menteri dan PM itu adalah sebegitu rupa, kita lihat amalan sejak merdeka hingga Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, PM tak pernah bincang dengan sesiapa untuk berhadapan YDPA melainkan mungkin pemimpin yang tertentu.

“Tetapi sekarang ada dikehendaki supaya Perdana Menteri berbincang dengan Kabinet supaya diputuskan oleh Kabinet tapi itu budi bicara Perdana Menteri sebagai pengerusi jemaah menteri,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang berbincang dengan jemaah menteri mengenai tarikh pembubaran Parlimen dalam mesyuarat Kabinet.

“Sejak merdeka 1957, PM tak pernah bincang dengan Kabinet tapi walaubagaimanapun dua minggu lepas Kabinet sudah bincang soal keperluan PM menghadap YDPA untuk bubar Parlimen.

“Tapi walaupun tidak ada persetujuan untuk PM boleh gunakan budi bicaranya, tidak mengatakan bila tarikhnya tapi sekurang-kurangnya Kabinet sudah tahu bahawa perkara itu sudah dibincangkan,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan 746 perwakilan dan 191 Ketua Bahagian UMNO yang dipercayai ada kaitan dengan keputusan yang dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO beberapa hari lalu.

Dalam mesyuarat tersebut, MKT UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Perjumpaan khas itu turut dihadiri Ismail Sabri. – MalaysiaGazette