KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH) melahirkan rasa kesian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana diasak partinya untuk membubarkan Parlimen segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dalam tahun ini juga.
Mahfuz mendakwa UMNO tidak sepatutnya mencaturkan budaya politik di negara ini.
“Saya kesian dengan Perdana Menteri sebenarnya sebab dia (Ismail Sabri) diikat dengan satu kenyataan keputusan dibuat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO bahawa mesti bubar dan buat PRU15 tahun ini juga.
“Ini bukan setakat ikat PM tapi juga memaksa YDPA untuk setuju dengan nasihat PM.
“Ini satu perkara yang sangat jelek bila parti korup kleptokrat mencaturkan politik dalam negara kita sehingga menyusahkan masyarakat dan rakyat,” katanya ketika membahaskan perbentangan Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan 2022) untuk bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat hari ini.
Khabar angin kuat mengatakan yang Parlimen akan dibubarkan minggu ini sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, sidang Dewan Rakyat kali ini tidak perlu bersidang sekiranya Ismail Sabri sudah bersedia untuk membubarkan Parlimen.
“Ini pembaziran, kita suruh rakyat ikat perut tiba-tiba kita bersidang dan bazirkan wang rakyat kemudian kita nak buat PRU.
“Rakyat suruh ikat perut kemudian kita nak buat PRU-15 yang memakan belanja bilion ringgit. Sepatutnya kita berfikir apa yang nak dimakan oleh rakyat,” katanya lagi.
Ahli politik pembangkang, rata-rata lantang bersuara membantah pilihan raya awal dengan memetik musim tengkujuh, keadaan ekonomi, wabak, dan perayaan akhir tahun. – MalaysiaGazette