Ratu Margrethe II. Foto Twitter

COPENHAGEN – Ratu Denmark telah meminta maaf selepas melucutkan gelaran diraja kepada empat cucunya namun tidak mengubah keputusan itu.

Ratu Margrethe II berkata, baginda mahukan monarki “mengikut perkembangan zaman” dan sudah lama memikirkan tindakan tersebut demi masa depan institusi diraja itu.

Pada masa sama baginda “meremehkan” reaksi keluarganya”, lalu ‘meminta maaf’.

Keputusan tersebut diumumkan minggu lalu tetapi berkuat kuasa tahun depan.

“Gelaran putera dan puteri yang mereka pegang sehingga kini akan dihentikan. Oeh itu, keturunan Putera Joachim akan diberi gelaran Yang Terutama pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Putera Joachim, anak bongsu Ratu Margrethe kecewa dengan perubahan gelaran itu.

“Tidak seronok melihat anak-anak anda dianiaya seperti itu.Mereka mendapati diri mereka berada dalam situasi yang mereka tidak faham,” katanya kepada Ekstra Bladet.

Isterinya, Puteri Marie mendakwa, anak bongsunya telah dibuli di sekolah selepas pengumuman tersebut.

Dalam temu bual, pasangan itu juga berkata Margrethe tidak bercakap dengan mereka sejak perubahan itu diumumkan. Seorang cucu, Putera Nikolai, berkata keluarganya “terkejut” dengan keputusan itu.

Mulai awal tahun 2023, empat anak Joachim – Putera Nikolai, 23, Putera Felix, 20, Putera Henrik, 13, dan Puteri Athena, 10 – akan dikenali dengan gelaran Count and Countess of Monpezat dan bukannya Putera dan Puteri.

Pihak istana berkata, ini adalah “sambungan semula jadi” kepada keinginan raja Denmark untuk mengurangkan monarki.

“Baginda mahu mewujudkan rangka kerja untuk empat cucu itu agar mereka dapat membentuk kehidupan ke satu tahap yang lebih besar,” kata kenyataan minggu lalu.

Mengulas reaksi puteranya, Ratu Margrethe II berkata: “Tiada siapa yang perlu ragu bahawa anak, menantu dan cucu saya adalah kegembiraan dan kebanggaan saya. Saya kini berharap kami sekeluarga dapat mencari ketenangan untuk mencari jalan melalui situasi ini,” katanya.

Anak sulung Ratu Margrethe II, Putera Mahkota Frederik, adalah yang pertama dalam barisan takhta dan empat anaknya akan mengekalkan gelaran mereka. – Agensi