Seorang warga Afrika maut ditetak dalam pergaduhan di pusat hiburan awal pagi tadi.- Gambar iIhsan polis Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Pergaduhan sekumpulan warga Afrika di pusat hiburan mengakibatkan salah seorang daripada mereka terbunuh awal pagi semalam.

Lapan individu termasuk dua wanita warga asing itu dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu kemudiannya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu berlaku di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak.

Katanya, pihaknya menerima maklumat pukul 5.35 pagi mengenai tiga lelaki warga Afrika tercedera dipercayai akibat pergaduhan itu menerima rawatan di wad kecemasan di sebuah hospital swasta.

“Polis dimaklumkan seorang daripada tiga lelaki terbabit berusia 32 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya bergaduh dengan sekumpulan lelaki warga Afrika.

“Pergaduhan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan luka akibat ditetak di belakang leher,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Tambah Ashari, bertindak atas maklumat pihaknya berjaya membuat tangkapan terhadap enam lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 26 hingga 40 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- MalaysiaGazette