Mohd Radzi (depan) menunjukkan barang yang disita pihaknya susulan penahanan empat suspek geng pecah rumah pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Polis menumpaskan ‘Geng Mawar’ susulan penahanan empat individu termasuk seorang pelajar Tingkatan Empat di Bertam Perdana di sini, serta Sungai Petani, Kedah pada minggu lalu.

Tangkapan terhadap tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 16 hingga 37 tahun itu berjaya menyelesaikan 16 kes pecah rumah membabitkan kerugian berjumlah RM250,000 di sekitar Seberang Perai Utara (SPU)

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pelancaran Op Pintu membawa kepada tangkapan tiga lelaki di sebuah rumah di Bertam Perdana pada jam 3.40 pagi.

Mohd Radzi (kanan).

Jelas beliau, susulan itu, polis turut menahan teman wanita seorang daripada suspek tersebut di Kedah pada 30 September.

“Hasil siasatan mendapati suspek mensasarkan kediaman di taman perumahan yang ditinggalkan penghuni beberapa hari dengan bertindak melarikan barangan kelengkapan rumah.

“Modus operandi suspek akan pergi membuat tinjauan sehari atau dua hari serta melihat rumah yang gelap dan sunyi pada waktu malam.

“Selepas pasti rumah tiada penghuni, malam kedua atau ketiga suspek akan pecah masuk melalui pintu belakang atau tepi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki melakukan kegiatan pecah rumah manakala suspek wanita pula berperanan melupuskan hasil rompakan.

“Kita berjaya mendapat semula pelbagai barangan seperti televisyen, telefon bimbit, komputer riba, kasut dan beg berjenama serta lain-lain membabitkan lapan kes yang dilaporkan.

“Selain itu, sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai digunakan bagi melakukan kegiatan tersebut turut dirampas,” katanya lagi.

Kesemua suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah itu direman bagi siasatan lanjut mengikit Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette