Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (kanan) mengatakan sesuatu dengan anggota BOPKPK semasa mengadakan lawatan ke Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak bercadang membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat mengenai perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) bagi kegunaan tentera darat.

Ini kerana, belum ada sebarang anugerah kontrak diberi kepada mana-mana pihak, malah, rundingan mengenainya masih lagi berjalan antara MINDEF dengan Kementerian Kewangan (MoF), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kebocoran maklumat sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli itu mungkin bertujuan cuba untuk menimbulkan kekeruhan atau keraguan kepada orang ramai.

“Sebenarnya proses perolehan SPH ni masih berjalan dan pendedahan yang keluar hari ini mungkin cuba nak menimbulkan kekerohan atau nak menimbulkan keraguan.

“Tetapi saya nak nyatakan di sini adalah bahawa SPH ni belum kita award lagi dan proses rundingan antara MINDEF dengan MoF masih diteruskan.

“Maklumlah, dalam landskap politik ni ada macam-macam benda yang akan diluahkan. Saya minta semua rasional membenarkan proses kita berjalan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Menurut Hishamuddin, proses untuk memberikan anugerah terhadap sesuatu kontrak banyak berkisar kepada agensi-sgensi terlibat dan bukan sahaja MINDEF.

Katanya, MINDEF akan terus berbincang mengenai perkara tersebut dengan MoF, dan selagi anugerah kontrak belum ditentukan tidak ada apa yang boleh diuar-uarkan mengenainya.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, tidak ada sesuatu yang membimbangkan mengenai pendedahan yang dibuat oleh Rafizi itu.

Ia disebabkan pendedahan yang dibuat tidak melibatkan maklumat-maklumat rahsia yang lebih penting.

“Tetapi kalau maklumat-maklumat rahsia berhubung kait dengan perkara-perkara pearalatan dan boleh menjejaskan kesiap siagaan kita, boleh bocor kepada musuh-musuh kita, itu lebih membimbangkan saya.

“Bagaimana ia boleh bocor sebelum proses ini belum dimuktamadkan lagi…wallahuallam,” tambahnya.

Terdahulu, Rafizi mendakwa tender perolehan projek meriam artileri itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baharu dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

Beliau berkata, arahan dikeluarkan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan supaya rundingan terus diadakan dengan syarikat MA Analytic Sdn Bhd yang tiada pengalaman dalam bidang berkenaan.

SPH ialah meriam artileri yang digunakan TDM dan diukur antaranya daripada segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi serta pengangkutan.

Rafizi mendakwa, MINDEF sudah membuat permohonan kepada MoF supaya perolehan ini dilaksanakan mengikut tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan.

Namun, menurutnya permohonan itu ditolak seperti dimaklumkan wakil Bahagian Perolehan Kerajaan, Datin Rosni Mohd Yusoff (bagi pihak Kementerian Kewangan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. – MalaysiaGazette