Jho Low Fat Leonard
Jho Low

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan khidmat orang ramai yang tahu akan keberadaan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low bagi membolehkan dia ditangkap.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat itu melalui pesanan dalam aplikasi WhatsApp PDRM.

“PDRM amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low supaya menyalurkannya melalui talian CCID Infoline di 013-211 1222 (WhatsApp sahaja) atau di mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Setiap maklumat yang diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada INTERPOL bagi mendapatkan pengesahan lanjut daripada negara ahli yang terlibat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Hamzah berkata demikian menjawab pertanyaan lisan RSN Rayer (Jelutong-PH) yang ingin tahu apakah langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengesan dan menangkap ahli perniagaan dalam buruan itu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihak polis tidak pernah berhenti dalam usaha mengesan dan membawa pulang Jho Low ke Malaysia.

“Pelbagai usaha dan langkah telah diambil termasuklah memohon dan memperolehi Notis Merah  daripada INTERPOL terhadap Jho Low sejak tahun 2018.

Untuk makluman, setelah Notis Merah ikeluarkan oleh INTERPOL, 195 negara bertanggungjawab  menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh Notis Merah bagi proses permohonan ekstradisi.

“Selain itu, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, pihak berkuasa Singapura dan agensi penguatkuasaan negara lain,” jawab Hamzah lagi.

Setakat jawapan ini diberikan Jho Low yang didakwa menjadi jerung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih lagi gagal dikesan dan belum ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa sehingga kini.

Walau bagaimanapun, ada pihak mendakwa Jho Low masih bersembunyi di China.

Perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World‘, Bradley Hope yang berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

Menurut Hope gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai. – MalaysiaGazette