KUALA LUMPUR – Seorang pemandu dan 12 pelajar sekolah cedera selepas van sekolah dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 6.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 2 petang menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kemalangan yang membabitkan van jenis Nissan Vanette yang membawa pelajar terbabit.
“Siasatan mendapati, semasa kejadian van sekolah berkenaan bersama dengan 12 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Serdang berusia antara 8 hingga 12 tahun dan seorang pelajar berusia 16 tahun sedang dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Tol Ayer Hitam susur keluar ke Depot Terminal Lembah Klang (KVDT) selepas tamat sekolah sesi pagi di Serdang.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku selepas van yang membawa 12 pelajar sekolah itu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri.
“Akibatnya, pemandu van lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang berasal dari Taman Lestari Perdana, Bandar Puteri Permai Puchong telah mengalami kecederaan di tengkuk dan patah kaki kiri,” kata dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Kamarul Azran, enam mangsa cedera parah di bahagian kepala, patah tangan kanan dan kiri, patah tengkuk dan tulang bahu serta cedera di bahu kanan dan kaki kiri.
Tambah beliau, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang yang mana enam murid dan pemandu van yang parah menerima rawatan di zon merah.
“Manakala enam lagi pelajar yang mengalami kecederaan ringan dan luka telah menerima rawatan di zon hijau sebagai pesakit luar dan kemudian dibenarkan pulang,” ujarnya.
Wan Kamarul Azran berkata, semasa kejadian, keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette