Foto: Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang wanita sesak nafas apabila terperangkap dalam kebakaran di ruang tamu sebuah kondominium di Petaling Jaya, dekat sini, diselamatkan anggota bomba.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan kebakaran unit kondominium membabitkan mangsa pada jam 6.56 petang tadi.

“Bertindak atas maklumat kebakaran itu sebuah jentera pemadam, skuad bertindak kecemasan perubatan (EMRS) dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan Seksyen 7 dan BBP Damansara dengan kekuatan seramai 20 orang anggota diketuai Komander Operasi Kanan Timbalan Pegawai Bomba II Ramli Harun tiba di lokasi kebakaran jam 7.14 malam tadi.

“Pemerhatian di lokasi kejadian mendapati kebakaran berlaku di salah sebuah unit rumah di Tingkat 6, Blok HR Riana Green Kondominium, Jalan Tropiciana Utara, Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan di dalam kediaman itu mendapati kebakaran berlaku di ruang tamu dan 50 peratus terbakar sebelum pasukan bomba mula memadam api daripada terus merebak ke kediaman lain.

Menurut Norazam, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 7.37 malam dan pemeriksaan lanjut menemukan seorang wanita berusia 30-an yang mengadu sesak nafas.

“Mangsa kemudian telah berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan api dan dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan segera.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan bomba sedang melakukan siasatan untuk mengenalpasti punca kebakaran tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast