Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang . Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini mengesahkan laporan berita berkaitan 20 anggota tentera yang didakwa terlibat kes rompakan.

Katanya, kesemua anggota berkenaan sedang disiasat berhubung kes rompakan secara berkumpulan yang dikaitkan dengan mereka  di Semporna, Sabah dalam dua insiden masing masing pada 15 dan 18 Ogos lalu.

“ATM menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan untuk proses tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Affendi juga menegaskan ATM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu melibatkan sebarang jenayah atau perlanggaran disiplin terutama dalam kalangan warga ATM.

Jelas beliau, ketegasan itu penting kerana ia boleh mencemarkan imej ATM sebagai sebuah organisasi mendukung konsep integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh negara.

“Semua pihak juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau sebarang kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan kes berkenaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette