KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Istana Negara, di sini, kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.
Keberangkatan pulang baginda selepas menghadiri program kerajaan berkaitan persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh di Ampang, pagi tadi.
Terdahulu baginda yang mengenakan baju batik berwarna kelabu menaiki kenderaan jenis Range Rover berwarna putih sempat melambai ke arah petugas media sebelum melalui Pintu Utama, Istana Negara.
Istana Negara menjadi tumpuan petugas media sejak awal pagi ini susulan desas-desus mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen Penggal ke-14.
Perkembangan itu susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September lalu yang memutuskan agar PRU15 diadakan pada tahun ini.
Selain itu, majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong itu merupakan rutin biasa Perdana Menteri setiap tahun sebelum pembentangan bajet.
Kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 pada petang esok di Parlimen. – MalaysiaGazette