Ahmad Zahid BN Kit Siang rasuah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan, amat penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung sekarang kerana negara kesuntukan masa bagi berdepan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan tahun depan.

Presiden UMNO itu berkata, ramalan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2023 bukan direka-reka oleh Barisan Nasional (BN), sebaliknya berdasarkan pelaporan organisasi kewangan dan ekonomi antarabangsa.

Kata beliau, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tiga bulan lalu mengunjurkan prospek ekonomi global menjadi gelap dengan ketara sejak April 2022 dan meramalkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi tidak lama lagi.

Malah, agensi itu, tegasnya, dikatakan akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga dan pakar ekonomi IMF dilaporkan mahu memuktamadkan angka baharu.

“Sebuah institut pelaburan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat pula meramalkan kemelesatan ekonomi dunia mungkin berlaku lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini.

“Ini bermaksud hanya berbaki tempoh kurang tiga bulan sebelum kemelesetan yang akan menjejaskan kebanyakan negara bermula atau lebih teruk ia mungkin terjadi seawal Disember tahun ini.

“Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah serta strategi berkesan untuk melindungi Malaysia daripada impak buruknya,” katanya menerusi hantara Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sejarah Malaysia sesudah PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018 membuktikan tiada gabungan politik selain BN memilki kemampuan tersebut.

Ujar beliau, Malaysia telah melalui pengalaman yang amat memeritkan sepanjang berkerajaan gagal selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan bawah Perikatan Nasional (PN).

“Negara di bawah pentadbiran PH memiliki sebuah kerajaan cacamarba, tidak tersusun dan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat dan negara.

“Pentadbiran negara jadi bersimpang-siur dengan setiap parti politik dalam kerajaan mentadbir portfolio kabinet masing-masing mengikut agenda dan fahaman sendiri.

“Negara di bawah pentadbiran kerajaan PN pula disertai sebilangan wakil rakyat BN, namun diketuai pemimpin politik bermuslihat menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Katanya, Malaysia dengan kewujudan kerajaan campuran ketika ini menyaksikan Perdana Menterinya tidak dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran daripada parti lain.

“Kita yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungan politik ini untuk kembali membentuk kerajaan dominan kerana BN pernah membuktikan kemampuannya mengurus ekonomi negara.

“Semoga harapan rakyat supaya mandat dikembalikan kepada mereka untuk memulihkan negara jadi kenyataan dan kepada Allah S.WT kita berserah selepas segala daya upaya,” katanya. – MalaysiaGazette