Seorang pengarah projek syarikat direman oleh sprm kedah kerana membuat tuntutan palsu jutaan ringgit membabitkan projek kabel dasar laut di utara tanahair. Ihsan foto: SPRM Putrajaya

PUTRAJAYA – Seorang pengarah projek sebuah syarikat direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah kerana  disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.4 juta.

Sumber berkata, lelaki itu membuat tuntutan palsu berhubung pembayaran projek kabel dasar laut.

Perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 11 Oktober 2022 telah dikeluarkan terhadap suspek oleh Majistret, Noorlynna Hanim Abd. Halim, selepas meluluskan permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, suspek lelaki warga tempatan yang berusia 46 tahun itu telah ditahan kira-kira jam 4 petang di ibu negara ketika telah hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Menurut sumber, syarikat yang mengendalikan projek kabel dasar laut tersebut telah membuat lebihan bayaran kira-kira RM2.4 juta kepada syarikat kontraktor apabila pihak kontraktor mengemukakan invois tuntutan berdasarkan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manaf ketika dihubungi tengah hari tadi telah mengesahkan tangkapan ke atas suspek itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast