KUALA LUMPUR – Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menasihatkan kerajaan agar mencari jalan penyelesaian jangka panjang dalam soal pembayaran hutang negara.
Jelasnya, kaedah meminjam wang untuk membayar hutang hanyalah langkah sementara dan jangka pendek dan perkara ini dilihat tidak boleh berterusan.
“Jika separuh daripada hutang baru digunakan untuk bayar hutang lama, keadaan ini tak boleh dibiarkan berterusan walaupun kita faham ini sepatutnya (hanya) tindakan sementara,” katanya dalam sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Wong Kah Woh di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Nik Azman, Putrajaya perlu mencari jalan penyelesaian bagi memastikan ekonomi negara tidak tejejas dan kerajaan dapat mengawal kadar hutang.
“Memang pinjaman selalu dibuat untuk pembiayaan terutama perbelanjaan pembangunan. Cuma sekarang ini, pada tahun ini dan tahun lepas berlaku Covid-19 di mana sebahagian pinjaman digunakan untuk membiayai kegiatan untuk menangani wabak dan menjana ekonomi untuk bantu syarikat terjejas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nik Azman memberitahu, peminjaman wang tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Itu kita faham, cuma kita bimbang kenaikan hutang sekarang ini tidak boleh berterusan. Maknanya ini sepatutnya hanya untuk jangka pendek. Kerajaan patut ambil tindakan pembetulan supaya hutang ini dapat dikawal.
“Seperti yang disebut (Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, PAC) Wong Kah Woh tadi, akibat daripada peningkatan hutang, bayaran faedah hutang sudah bertambah,” katanya. – MalaysiaGazette