Muhammad Adam Zaraiee

KUALA LUMPUR – Sayap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wira Perkasa) menggesa satu siasatan terperinci dilakukan terhadap penganjur konsert di Alor Setar, Kedah Sabtu lalu.

Ketua Penerangannya, Muhammad Adam Zaraiee berkata, siasatan itu perlu untuk mengenal pasti sama ada penganjur gagal menepati piawaian dan syarat permit yang telah ditetapkan.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil sekiranya pihak tersebut didapati melanggar syarat dengan sengaja.

“Selain itu, konsert hiburan yang berlangsung sangat hampir dengan masjid juga mengundang pelbagai perspektif buruk oleh masyarakat setempat dan pelancong.

“Aktiviti konsert liar seperti ini perlu dipantau sepenuhnya supaya tidak menjejaskan imej negara dan dikhuatiri mendatangkan lebih banyak keburukan serta melalaikan generasi muda berbangsa Melayu.

“Oleh itu, perhatian serius perlu diberikan terhadap sebarang penganjuran majlis hiburan liar yang boleh mengundang ketidakselesaan orang ramai dan merosakkan budaya serta adab Melayu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan penganjur mengadakan konsert itu tidak jauh dari pekarangan Masjid Zahir, dekat Alor Setar.

Namun, kerajaan negeri telah memanggil penganjur dan akan menyiasat bagaimana konsert hiburan itu diadakan berhampiran masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan, aktiviti itu mendapat kebenaran daripada pihak berkaitan, namun acara hiburan tersebut berlangsung kurang sopan.

Najmi turut kesal dan mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melakukan siasatan kerana tidak sepatutnya konsert seperti berkenaan dibuat di dataran tersebut kerana ia berhadapan masjid. – MalaysiaGazette