KUALA LUMPUR – Kira-kira 81.5 peratus rakyat tidak bersetuju Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat kerana bimbang dengan keselamatan mereka sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU-15) diadakan pada musim banjir.
Dapatan itu diperolehi melalui kaji selidik yang dijalankan oleh QGenAnalysts melibatkan seramai 77,580 netizen merangkum pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain.
Berdasarkan rumusan yang disiarkan dalam laman Facebook QGenAnalysts hari ini, hanya 18.49 peratus responden yang mahu Parlimen dibubarkan segera.
“Penolakan pembubaran Parlimen dengan sebab suasana musim tengkujuh dan kekurangan kekuatan jentera kerajaan perlu didengari oleh ahli politik malah perlunya ada kenyataan daripada mereka bagi meredakan suasana ini dari bermain-main di bibir rakyat.
“Desakan Parlimen untuk segera bubar dengan alasan isu kestabilan kerajaan, keyakinan pelabur pada kerajaan yang tipis majoriti dan perlaksanaan PRU sebelum musim tengkujuh melanda negara tidak dapat diterima kerana Jabatan Meterologi telah memberi amaran berkaitan musim tengkujuh pada Oktober ini dan terdapat juga negeri-negeri yang telah dilanda banjir,” katanya.
Ketika ini, Barisan Nasional (BN) dan UMNO menyarankan agar kerajaan membubarkan Parlimen segera supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dapat diadakan sebelum musim tengkujuh bermula pada pertengahan November.
Pemimpin-pemimpin UMNO termasuk presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan rakyat perlu diberi peluang memilih kerajaan yang lebih stabil secepat mungkin agar ekonomi negara dapat dipulihkan segera.
Bagaimanapun, hasrat BN dan UMNO itu menerima bantahan keras daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang mahu PRU-15 diadakan tahun depan.
Sehubungan itu, QGenAnalysts mencadangkan agar kajian yang lebih teliti dijalankan untuk menilai sentimen rakyat terhadap isu pembubaran Parlimen.
Badan penyelidikan tersebut turut mengesyorkan supaya diperbanyakkan naratif keselamatan awam dan kepentingan rakyat seperti isu banjir dan pemulihan ekonomi.
“Naratif ini amat diperlukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang berkait rapat dengan bagaimana perancangan kerajaan dalam membendung masalah-masalah ekonomi, banjir dan sebagainya,” jelasnya.
QGenAnalysts mengingatkan bahawa PRU-15 tidak semestinya menjamin keyakinan pelabur dan kestabilan kerajaan akan dipulihkan.
“Namun, keselamatan rakyat pasti tergugat jika PRU-15 diadakan pada musim tengkujuh ini seperti yang berlaku di negara-negara luar,” katanya. – MalaysiaGazette