Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 disifatkan sebagai satu belanjawan seimbang yang mencakupi keseluruhan aspek keperluan untuk pembangunan negara.

Ini kerana, setiap kementerian menerima peruntukan yang besar dan mampu memulihkan negara dengan pantas selepas pandemik Covid-19.

Rata-rata menteri-menteri yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan pembentangan bajet oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sambil menganggap ia sebagai hadiah bermakna untuk Keluarga Malaysia.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bajet yang diperuntukkan kepada kementeriannya memberi manfaat besar dalam usaha memperkemaskan projek-projek termasuk Aliran Transit Massa (MRT), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan landasan keretapi berkembar.

Katanya, apa yang menarik adalah peruntukan tersebut akan dibelanjakan untuk pembangunan jalan-jalan atau pun pembangunan sempadan negara di Kalimantan antara Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan dan juga Thailand.

“Alhamdulilah peruntukan yang agak besar bukan sahaja Sabah dan Sarawak, tetapi seluruh negara kita dalam konteks pembangunan infra negara.

“Dan ini merupakan salah satu fokus baru kita, supaya sempadan negara itu bukan sahaja dapat dibangunkan, tetapi, dalam masa yang sama keselamatan dapat dipelihara. Itu merupakan salah satu peruntukan baru,” katanya.

Bagi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula, beliau menyifatkan bajet kali ini sebagai satu tambahan sebanyak 7.8 peratus yang diterima kementeriannya berbanding tahun lepas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien selepas Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 OKTOBER 2022.

Ujarnya, jumlah bajet yang agak besar dengan tambahan RM1.23 bilion itu perlu diperincikan dan keutamaan perbelanjaannya adalah terhadap perkara-perkara yang bersandarkan aset-aset, penyelengaraan, perumahan dan kepada golongan veteran.

“Saya bersyukur jumlah peruntukan kepada Mindef bertambah, kita akan melihat perinciannya dan saya berharap tambahan itu dapat kita salurkan kepada empat perkara keutamaan yang saya sebut tadi,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, Bajet 2023 adalah belanjawan untuk generasi muda yang mengambil kira pelbagai sektor khususnya peluang pekerjaan serta golongan belia.

Katanya, ia penting kerana dalam fasa ekonomi yang mencabar dan dengan pelbagai insentif yang ditawarkan, beliau percaya ia akan memberi faedah kepada generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast