Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) berharap pembentangan Bajet 2023 petang ini terus menyediakan peruntukan yang diperlukan kepada sektor itu bagi menjamin pendidikan tinggi yang berkualiti.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, perbelanjaan untuk pendidikan tinggi perlu dilihat sebagai suatu pelaburan.

Katanya, dalam Bajet 2022, sektor pendidikan tinggi mendapat peruntukan sebanyak RM14.5 bilion.

“Walaupun umum tahu negara mengalami susut nilai mata wang ringgit, ini tidak boleh dijadikan justifikasi kepada potongan bajet terus menerus saban tahun untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Bajet pendidikan tinggi perlu terus diberikan prioriti selepas pandemik kerana IPT memainkan peranan utama dalam pemulihan dan pengembangan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.

“Selepas pandemik atau semasa kegawatan ekonomi, pendidikan tinggi menjadi tumpuan khususnya kepada graduan dan pekerja yang tidak mempunyai kerja tetap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, terdapat keperluan bagi memastikan urusan mereka yang berminat atau bermotivasi untuk menyambung pengajian di IPT dipermudahkan iaitu pendidikan tinggi boleh diakses oleh pelajar khususnya yang memerlukan.

Menurut Dr. Norzaini, selepas pandemik, kerajaan perlu memberi fokus kepada penambahbaikan ekonomi dan keperluan untuk melabur lebih banyak bagi pembangunan bakat yang holistik.

Justeru, katanya, PenDaPaT meraikan pelaburan kerajaan melalui Bajet 2023 yang akan menyokong IPTA untuk menyediakan pendidikan yang memberi keutamaan kepada ekuiti dan mampu milik khususnya kepada golongan memerlukan.

Jelas beliau, ini boleh dilakukan dengan memastikan akses serta menyediakan tempat tinggal dan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat.

Kata beliau, pelaburan PT seharusnya membantu menangani keperluan berterusan untuk pelajar berpendapatan rendah supaya kos yang tinggi tidak lagi dijadikan sebagai halangan kepada akses, peluang dan kejayaan pelajar.

“Sokongan kepada pelajar yang memerlukan adalah salah satu tonggak utama agenda ekuiti.

“Fokus juga perlu kepada menyediakan pelaburan kewangan strategik baharu untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dengan memastikan setiap IPTA menyediakan education – to employment dan menyediakan program peningkatan profesional berkualiti supaya lebih ramai warga masyarakat dapat kembali bekerja atau berkerjaya dengan lebih baik dan bermakna.

“Ini menzahirkan komitmen terhadap PT berkualiti tinggi dan mampu diakses oleh pelajar memerlukan, di samping dapat membina masyarakat kelas pertengahan yang lebih kukuh dengan membangun graduan dan pekerja mahir yang diperlukan oleh ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kualiti pendidikan disediakan harus mampu membangun masyarakat berpengetahuan yang mempunyai jati diri dan integriti tinggi.

“Justeru, penagihan dana perlu berasaskan prestasi dan akuntabiliti melalui keputusan berasaskan pembuktian dan hasil yang disokong oleh data yang tepat dan berkualiti.

“Kita juga berpandangan Bajet 2023 ini perlu memberi tumpuan kepada beberapa perkara, iaitu kos penyelenggaraan Infrastruktur Pelajar untuk pembelajaran yang kondusif,” katanya.

Menurutnya, kualiti kemudahan prasarana khususnya berkaitan penginapan pelajar jauh lebih terkebelakang daripada negara rakan antarabangsa, manakala keselesaan kehidupan mereka di kampus harus menjadi petanda aras kualiti pendidikan tinggi.

Buat masa ini, terdapat IPTA khususnya politeknik yang mempunyai tempat tinggal pelajar yang sudah usang dan tidak lagi sesuai diduduki.

Oleh itu, bajet khusus perlu diberikan untuk membiaya meningkat dan memulihkan infrasktur asas, asrama penginapan pelajar di UA dan politeknik.

“Bajet penyelangaraan dan penambahbaikan sangat penting kerana melibatkan perlaburan memodenkan infrastruktur fizikal sedia ada, tetapi juga menyediakan ruang tambahan (termasuk kemudahan internet) yang akan menyokong pelajar untuk mengakses kemudahan P&P bagi tujuan pembelajaran yang lebih fleksibel.

“Bagi UA yang besar dan lokasinya di tengah bandar, sebahagian bajet untuk pembiayaan menyediakan perumahan semula perlu disediakan bagi menyelesaikan isu pelajar yang menghadapi masalah mendapatkan tempat tinggal bersesuaian iaitu mampu dan selamat,” katanya.

Dr. Norzaini turut mencadangkan, penyelarasan semula kos pengajian pelajar melalui subsidi kerana inisitif itu menggunakan peningkatan sebanyak 2.75 peratus kepada subsidi kos pengajian setiap pelajar ke IPTA oleh kerajaan untuk menyokong dan membantu IPT menguruskan kenaikan kos harga barang.

Ini juga katanya, bagi memastikan IPTA mengekalkan kualiti dan kebolehcapaian dari masa ke semasa. – MalaysiaGazette