Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, Bajet 2023 menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal 2023 berkata, sebanyak 73.1 peratus atau RM272.3 bilion daripada Bajet 2023 disalurkan kepada perbelanjaan pengurusan (OE).

Jumlah itu bagaimanapun menyaksikan penyusutan sebanyak 4.3 peratus kepada RM272.3 bilion berbanding 2022.

Namun, emolumen penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 33.3 peratus daripada OE, meningkat hampir lima peratus kepada RM90.8 bilion.

Sumber: Kementerian Kewangan

“Peruntukan OE berkurang terutamanya disebabkan oleh pengurangan subsidi berikutan jangkaan harga komoditi lebih rendah dan langkah secara beransur-ansur ke arah pemberian subsidi secara lebih bersasar,” kata laporan itu.

Tambah laporan itu, perbelanjaan pembangunan (DE) pula meningkat kepada RM94.3 bilion berbanding RM71.2 bilion pada 2022.

Katanya, ia berikutan peruntukan lebih tinggi untuk program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) seperti pembinaan lebuh raya dan landasan keretapi, fasiliti perubatan dan institusi pendidikan.

Sumber: Kementerian Kewangan

Peruntukan subsidi dan bantuan sosial kekal tinggi dengan 11.3 peratus daripada keseluruhan Bajet 2023.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah AS$3 bilion untuk penebusan bon 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Laporan Tinjauan Fiskal 2023 menyebut RM5 bilion diperuntukan untuk pembayaran tertunggak komitmen Kumpulan Wang Covid-19 yang dibuat pada 2022.

Seperti kebiasaannya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kerajaan namun pada Bajet 2023, ia diunjur berkembang sederhana sebanyak 3.7 peratus kepada RM205.6 bilion selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi yang lebih perlahan.

Sebanyak 38.5 peratus daripada peruntukan 2023 disumbang oleh cukai pendapatan, pinjaman dan penggunaan aset kerajaan (26.8 peratus), cukai langsung (14 peratus), cukai langsung lain (2.6 peratus).

Manakala hanya 18 peratus Bajet 2023 disumbang oleh hasil bukan cukai didorong oleh unjuran dividen lebih rendah yang diterima kerajaan tahun depan.

Hasil bukan cukai diramal menurun sebanyak 23 peratus kepada RM67 bilion berbanding 2022.

“Bajet kerajaan kekal mengembang bagi menyediakan sokongan fiskal yang mencukupi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan pembaharuan ekonomi di samping meneruskan pelan konsolidasi fiskal,” katanya. – MalaysiaGazette