KUALA LUMPUR – Individu-individu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak terlalu ghairah mengidam gelaran ‘Yang Berhormat’, sebaliknya mereka perlu bersedia untuk menghadapi isu rakyat sama ada kecil ataupun besar.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, calon yang berkempen kerap melontar janji dan setelah menang ternyata mereka hanya mementingkan diri sendiri sehingga sukar ditemui rakyat.
Katanya, rakyat sudah mual dengan calon yang ghairah untuk merebut jawatan dan hanya menonjol diri serta asyik menumpu kepada percaturan politik.
“Rakyat perlu calon yang berkaliber dan berintegrasi aras tinggi untuk menangani isu- isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Individu yang berfikiran rendah dan mempunyai watak yang pantang dikritik tidak harus menjadi calon.
“Rakyat menolak calon parti politik yang tidak memberi penyelesaian kepada krisis. Rakyat tidak mahu calon yang hanya populis yang menonggang krisis dengan kelantangan bersuara tetapi tidak menyumbang kepada solusi masalah rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Azmi mendakwa, proses memilih calon hanya berlaku dalam parti yang lazimnya sarat dengan gejala lobi-melobi, politik sogokan, politik saling membunuh karakter serta politik konspirasi.
Ujarnya, keghairahan menjadi calon sangat jelas dalam percaturan parti bila ramai yang merasa layak menjadi calon, namun dalam keadaan kini, memilih individu yang layak hanya disyaratkan sebagai calon yang boleh menang.
Jelasnya, calon yang dipilih parti politik sering tidak memenuhi kehendak rakyat kerana rakyat tidak diberi pilihan melainkan hanya menurut pilihan parti.
Walhal, terlalu banyak isu yang melengkari rakyat terutama rakyat marhaen yang perlu disantuni wakil rakyat, katanya.
Tambah beliau, calon yang sering disaring hanya berasaskan kepada favouritisme bukan kepada yang benar-benar layak untuk berkhidmat untuk rakyat.
“Apakah calon yang sedia ada atau yang bakal ditampilkan oleh parti politik memenuhi kelayakan yang dimahukan rakyat ?
“Ataukah parti politik hanya sibuk mencatur sesama sendiri sehingga calon wakil rakyat yang dipilih hanya mementingkan parti bukan rakyat?” soalnya. – MalaysiaGazette