Pejabat Perbendaharaan Malaysia di Kementerian Kewangan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2021 di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Hutang kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM1.05 trilion atau 61 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2022.

Kementerian Kewangan menerusi Tinjauan Fiskal 2023 melaporkan, sebahagian besar hutang kerajaan persekutuan adalah dalam denominasi ringgit manakala baki 2.8 peratus adalah dalam mata wang asing.

Tambahnya, hutang dalam negeri adalah sebanyak RM1.02 bilion merangkumi terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) yang merupakan sekuriti jangka sederhana dan matang dengan tempoh matang antara tiga hingga 30 tahun.

Instrumen itu mewakili komposisi terbesar dengan MGS sebanyak 51 peratus dan MGII sebanyak 43.8 peratus daripada hutang dalam negeri.

Tinjauan Fiskal 2023 melaporkan, bayaran khidmat hutang (DSC) pada 2022 dianggar sebanyak RM43.1 bilion atau 15.1 peratus daripada hasil, lebih rendah berbanding 16.3 peratus pada 2021.

“Nisbah DSC kepada hasil dijangka bertambah baik berikutan kutipan hasil lebih tinggi terutamanya daripada cukai dan hasil komoditi,” katanya.

Tambah laporan itu, pengukuhan dolar Amerika Syarikat hanya memberi kesan minimum kepada kos pembiayaan luar pesisir kerana komposisi hutang dalam mata wang asing adalah kecil.

Tinjauan Fiskal 2023 mendapati, nisbah hutang daripada KDNK di antara negara berpenarafan ‘A’ dan ekonomi serantau terpilih, Malaysia berada di kedudukan keenam tertinggi pada 2021 dengan 63.4 peratus selepas Jepun (242 peratus), Singapura (145.9 peratus), Sepanyol (118.4 peratus), Laos (95.2 peratus) dan Slovenia (74.7 peratus).

Dari aspek nisbah DSC kepada hasil pula, Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi dengan 16.3 peratus selepas Laos (19.2 peratus).

Negara-negara lain termasuk Jepun dan Singapura merekodkan nisbah kurang daripada 10 peratus.

“Paras hutang Malaysia kekal terurus meskipun DSC kepada hasil mencatatkan nisbah yang lebih tinggi berbanding Jepun dan Singapura.

“Kerajaan berterusan mengurangkan pendedahan risiko hutang dengan mengutamakan terbitan dalam pasaran domestik yang mempunyai kecairan mencukupi, mengekalkan hutang dalam mata wang asing dengan komposisi rendah dan mematuhi keperluan perundangan dalam memenuhi obligasi DSC menggunakan hasil,” katanya. – MalaysiaGazette