Agenda memperkasa warga emas dan Orang Asli terus diperhebat apabila lebih RM1 bilion peruntukan disediakan untuk golongan itu tahun depan.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Agenda memperkasa warga emas dan Orang Asli terus diperhebat apabila lebih RM1 bilion peruntukan disediakan untuk golongan itu tahun depan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata pada tahun depan, hampir RM1 bilion disediakan khusus untuk kebajikan warga emas iaitu peningkatan ketara berbanding RM580 juta pada 2020 berikutan kenaikan kadar bantuan kebajikan warga emas dan peluasan kelayakan yang meningkatkan bilangan penerima.

Menurut Tengku Zafrul kerajaan terus menyediakan geran berjumlah RM21 juta untuk menyokong operasi institusi penjagaan warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) swasta yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

“Agenda memperkasa komuniti tumpuan akan memfokuskan kepada pemberian bantuan, kemudahan infrastruktur dan program-program sosioekonomi,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhan, sebanyak RM305 juta disediakan untuk masyarakat Orang Asli pada tahun depan berbanding RM274 juta tahun ini.

“Peruntukan ini antaranya merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata pada tahun depan, kerajaan akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 Orang Asli di Kemaman di Terengganu, Bera di Pahang dan Gua Musang di Kelantan.

“Kerajaan juga akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 Orang Asli,” katanya.

Tengku Zafrul berkata yayasan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan juga menaja sekurang-kurangnya 10 anak Orang Asli untuk menyambung pelajaran di luar negara.

“Majlis Amanah Rakyat kini menyediakan peluang tajaan kepada 10 orang anak Orang Asli menyambung pengajian tinggi di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM10 juta disediakan untuk tahun depan di bawah inisiatif Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara.

“Peruntukan ini antaranya untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad, Melaka dan meningkatkan bekalan ikan air tawar di Pusat Koreksional Kamunting, Perak,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bermula tahun depan, potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji antaranya bekas banduan turut diperluas kepada bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, institusi perlindungan dan pemulihan kerajaan.

Inisiatif potongan cukai tambahan itu juga diperluas kepada pusat jagaan bukan kerajaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Pusat Transit-Anjung Sinar sebagai pusat sementara untuk anak-anak di bawah jagaan JKM berteduh sebelum mendapatkan pekerjaan dan memulakan hidup baru.

“GLC juga akan membantu mereka dengan peluang pekerjaan bersesuaian,” katanya. – BERNAMA