Hakimah Mohd Yusoff

PUTRAJAYA – Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Ahad ini.

Acara yang disambut setiap tahun itu sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, termasuk mengambil kira negara kini telah memasuki fasa endemik.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sambutan itu bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad, malah menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

Katanya, Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad bersetuju dan membuat ketetapan agar majlis tersebut diteruskan semula sebagaimana tahun sebelumnya yang melibatkan perhimpunan secara fizikal.

“Bagaimanapun, acara perarakan yang menjadi acara lazim sambutan setiap tahun tidak diadakan tahun ini.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut.

“Perdana Menteri dan isteri turut sama akan hadir bagi memeriahkan acara sambutan yang bermula jam 9.30 pagi itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hakimah berkata, tema sambutan tahun ini ialah “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, relevan dan bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, dua pendekatan tersebut termasuk ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’ menjadi simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan lebih harmoni dan sejahtera, menjurus kepada pemeliharaan kemaslahatan rumah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Seperti kelaziman, sempena sambutan ini juga akan diadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada individu yang layak.

“Majlis kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.

“Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah serta negara,” ujar beliau.

Kata beliau, penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta negara.

Katanya, pemilihan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW yang dipengerusikan Idris.

“Penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya pada latar pentas, yang akan memaparkan tayangan grafik berinteraksi dengan fasad latar pentas.

“Ini adalah antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.

“Mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka tahun ini juga akan dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Baginda sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Rasulullah,” katanya.

Menurut Hakimah, persembahan khas itu diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

Jelas beliau, sebagai sebahagian dari program sambutan Maulidur Rasul, satu Forum Perdana Ehwal Islam Khas telah diadakan malam tadi di TV1 dengan tajuk, Kasih Tanpa Syarat, anjuran kerajaan Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah dengan kerjasama Jakim dan RTM.

Isu yang dibincangkan ialah bagaimana sifat Rasululullah SAW yang perlu dicontohi oleh Keluarga Malaysia dalam usaha memupuk nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam diri generasi pelapis negara.

Selain itu, katanya lagi, penonton juga boleh menyaksikan sambutan itu secara langsung melalui TV1 RTM dan Nasional fm selaku penyiar rasmi serta saluran stesen radio di bawah RTM seperti SALAMfm, Aifm, TRAXXfm, Minal fm, Asyik fm dan stesen radio RTM negeri.

“Siaran radio ini disampaikan dalam pelbagai bahasa seperti Tamil, Mandarin, Inggeris dan dialek Orang Asli,” katanya. – MalaysiaGazette