KUALA LUMPUR – Orang ramai melahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat serius dalam menangani kenaikan kos sara hidup menerusi pembentangan Bajet 2023, semalam.
Kebanyakan yang ditemui MalaysiaGazette mengakui tahu tentang kekangan kewangan dihadapi kerajaan, namun mereka yakin slogan Keluarga Malaysia yang sering dilaungkan menjadi bukti kerajaan mendengar suara rakyat.
Pekerja swasta, Pratiwi Usman, 34, yang merupakan ibu tunggal terharu dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara one-off sebanyak RM2,500 untuk isi rumah lima orang anak yang berpendapatan kurang RM2,500 sebulan.
Katanya, dia yang membesarkan lima anak di ibu kota dengan gaji sebanyak RM1,500 memandang bantuan tersebut sebagai besar turut lega dengan bantuan awal persekolahan berjumlah RM150 kepada pelajar.
“Walaupun sebelum ini saya ada terima BKM, tapi jumlah kali ini cukup bermakna. Namun, saya harap kerajaan tambah lagi bantuan kewangan sebab dengan gaji saya RM1,500 memang tak mampu dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Orang Kelainan Upaya (OKU), Abdul Latif Abdullah, 27, yang mendengar radio ketika pembentangan Bajet 2023 mengukir senyuman apabila kerajaan mengumumkan pemberian baucar perjalanan sebanyak RM10 juta melalui perkhidmatan e-hailing.
Katanya, sebagai insan yang hilang penglihatan sejak lahir, bantuan baucar tersebut memudahkan perjalanannya selain elaun pekerja cacat yang turut diterima menerusi peruntukan berjumlah RM1.2 bilion.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan sebab prihatin. Namun, saya harap masih ada bantuan lain yang dapat membantu kami melangsungkan hidup. Pandanglah kami, tolonglah kami,” rayu Abdul Latif yang meneruskan kehidupan sebagai penyanyi jalanan.
Penghantar makanan Food Panda, Mohamad Faiz Mohd Ali, 29, memuji kerajaan yang mewajibkan pekerja dalam sektor itu mencarum 20 peratus dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun depan.
Namun, Faiz yang telah mencarum dengan pertubuhan itu sebelum ini terkilan dengan Bajet 2023 apabila melihat kerajaan kurang memberi tumpuan kepada kebajikan golongan B40 sepertinya yang terpaksa berhijrah dari Kelantan ke ibu kota demi kelangsungan hidup.
Pesara kerajaan, Abdullah Rashid, 57, pula berharap kerajaan tidak memandang enteng terhadap golongan rentan termasuk M40 yang kelihatan sering dilupakan dalam apa jua jenis bantuan.
Tambahnya, sebagai seorang bapa, pendidikan buat anak-anak menjadi tumpuan utama ketika pembentangan Bajet 2023 yang dilihat perlu diberikan lebih banyak bantuan dan tidak memadai sekadar diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Teruskanlah bantuan seperti tahun lalu kepada golongan orang miskin dan bantuan kepada M40 juga jangan dilupakan.
“Pendidikan untuk anak-anak juga penting dan wajar diteruskan dalam pelbagai aspek tidak terhad kepada PTPTN semata-mata,” ujarnya yang berasal dari Sabah. – MalaysiaGazette