zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pihak pembangkang khususnya DAP diminta supaya tidak terlalu ghairah menuduh para pemimpin politik Melayu sebagai penyangak yang mengamalkan rasuah dan menipu duit rakyat.

Ahli UMNO, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pemimpin DAP menggambarkan diri mereka telus walhal mereka dikatakan mengenali ahli perniagaan, Teow Wooi Huat atau lebih dikenali sebagai Tedy Teow yang disyaki melakukan penipuan dengan nilai 80 kali lebih besar daripada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, Tedy Teow yang memilik MBI Group International sebelum ini dilaporkan telah menipu ramai individu di 70 negara termasuk China dengan membabitkan nilai 500 bilion renminbi (RM326 bilion).

“Tedy Teow kini ditahan di Thailand kerana China cuba untuk ekstradisi supaya dia dihadapkan di mahkamah di sana tapi yang kita tak diberitahu adalah Tedy Teow kenal baik dengan pemimpin-pemimpin DAP,” katanya seperti dipetik dari rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Pada 2019, pihak berkuasa di negara ini membekukan 91 akaun bank dengan nilai RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI.

Pada tahun yang sama, kira-kira 100 warga China mengadakan perhimpunan aman di luar pekarangan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur dan mereka mendakwa telah ditipu dalam skim piramid dalam talian yang dikendalikan oleh MBI.

Tedy Teow juga dikehendaki oleh pihak berkuasa China selepas laporan difailkan oleh kira-kira 400 pelabur dari China tahun lalu dengan melibatkan dana kira-kira RM100 juta.

Bank Negara Malaysia  juga telah meletakkan syarikat tersebut dalam pemantauan kerana didakwa mengendalikan skim pelaburan yang meragukan.

Sehubungan itu, Zaid mempersoalkan sama ada kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) telah menyiasat Tedy Teow.

Beliau berharap agar kerajaan yang bakal diterajui Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menyiasat ahli-ahli perniagaan seperti Tedy Teow yang dianggap sebagai penyangak sebenar yang merosakkan ekonomi negara.

“Naratif sekarang pemimpin politik Melayu curi duit rakyat tetapi mereka tak sebut tentang ahli perniagaan (kawan mereka),” jelasnya. – MalaysiaGazette