Dr Nur Shasa Abdul Aziz gemar turun ke padang membantu masyarakat yang diwarisi daripada arwah bapanya yang juga bekas menteri Kabinet.

KUALA LUMPUR – Untuk menghasilkan komunikasi berkesan, pendengaran yang normal adalah penting namun ia gangguan yang tidak nampak dan selalunya terlepas pandang oleh masyarakat.

Ini kerana masalah tersebut tidak dapat ditentukan hanya melalui pemerhatian fizikal di mana ia boleh dikesan setelah menjalani beberapa ujian pendengaran.

Oleh itu, pengetahuan mengenali telinga adalah penting untuk mengetahui lebih mendalam mengenai fungsinya dan masalah pendengaran yang dihadapi.

Ini kerana masalah tersebut merupakan salah satu faktor kepada peningkatan kes keretakan rumah tangga di negara ini.

Pakar audiologis, Dr. Nur Shasa Ain Abdul Aziz memberitahu, isu kejelasan maksud komunikasi antara pasangan suami isteri menjadi penyebab gara-gara salah faham menerima mesej.

Jelas beliau, masalah pendengaran akan berlarutan dalam percakapan seharian sekiranya penerimaan perkataan yang salah akan memberi kesan kepada emosi individu.

“Bayangkan kalau banyak perkataan yang kurang jelas di dengar antara pasangan suami isteri yang menyebabkan masalah komunikasi dan berlakunya pertengkaran apabila istilah pekak akan mula digunakan kepada pasangan masing-masing dalam keadaan marah.

“Oleh itu kalau input organ tidak betul bagaimana penerimaan pemahaman yang jelas. Masalah ini boleh menyebabkan keretakan rumah tangga kerana bila komunikasi salah akan menyebabkan kualiti hidup menurun.

“Jadi impak itu tidak nampak dan ia pejuangan saya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai kerana gangguan emosi akan dihadapi berterusan dalam menjalani kehidupan seharian rumah tangga,” katanya yang merupakan anak kepada bekas menteri Kabinet, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Shamsudin.

Ibu kepada sepasang cahaya mata itu pemegang ijazah dalam bidang audiologi dari University College of London dan ‘Dr of Audiologist,’ Nova Southeastern University, Fort Lauderdale Florida di Amerika Syarikat.

Beliau pernah berkhidmat selama 12 tahun berada di United Kingdom dalam bidang audiologi sebelum Nur Shasha Ain kembali ke tanah air membuka pusat audiologi pada usia 30 tahun.

Sekembalinya ke tanah air, Nur Shasa Ain meneroka industri pembuatan di Oticon Malaysia iaitu pengeluar Alat Bantu Pendengaran dan AudioVestibular Interacoustics Equipments untuk memahami bidang ini dan pasaran di negara ini.

Memiliki impian untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang tersebut, wanita berusia 38 tahun itu mengasaskan Eartistic Hearing and Balance Centre bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang pendengaran dan fisioterapi.

Sehingga kini, Eartistic mempunyai tujuh cawangan di Semenanjung Malaysia.

Baru-baru ini beliau telah dianugerahkan Wanita Waja 2021 oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan 100 Top Young CEO 2021.

Dr. Nur Shasa Ain Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Nur Shasa Ain berkata, sikap kurang ambil peduli terhadap masalah pendengaran pada peringkat awal dalam kalangan warga emas juga menyebabkan golongan itu berisiko menghidap penyakit nyanyuk (dementia).

Beliau berkata, ini kerana masalah pendengaran menyebabkan golongan itu kurang berkomunikasi, rasa terasing, kecewa, tidak yakin dan sukar bersosial.

“Gangguan ini berlaku secara beransur-ansur mengikut tahap serta bacaan desibel terhadap frekuensi bunyi dan ia boleh bersifat kekal atau hilang kepekaan pada usia lanjut akibat proses degenerasi organ pendengaran.

“Justeru, gaya hidup atau pekerjaan harus ditukar untuk mencegah masalah pendengaran agar tidak menjadi lebih serius di mana setiap orang harus menjaga telinga supaya pendengaran tidak merosot semasa muda,” katanya.

Nur Shasa Ain menambah, masalah pendengaran boleh dihadapi oleh setiap lapisan umur yang jika tidak dirawat dengan segera boleh memberi risiko lebih serius.

“Pesakit yang mengalami gangguan pendengaran mestilah mengambil ubat melalui pemantauan doktor. Individu juga tidak boleh mengorek telinga menggunakan putik kapas atau benda-benda tajam yang boleh merosakkan gegendang telinga,” katanya.

Sementara itu, Dr Nurshasa Ain merupakan antara 10 finalis yang berentap rebut gelaran Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022 (AWIM 202) di mana majlis pengumumannya berlangsung di sebuah hotel pada 20 Oktober ini.

Beliau mewakili Wanita Ikon Wilayah Persekutuan.

Finalis (AWIM) 2022 yang dianjurkan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipilih terdiri daripada mereka yang mampu menjalankan aktiviti-aktiviti pemerkasaan wanita dalam komuniti.

“Saya percaya menjadi Wanita Ikon Malaysia membolehkan sayameneroka keperluan wanita di Malaysia secara holistik dan membawa pasukan saya selangkah lebih dekat kepada sasaran yang betul dalam mengejar impian dalam mencipta impak kepada masyarakat.

“Anugerah itu juga dapat membentuk diri sebagai “change agent” kepada masyarakat dan saya saya percaya perjalanan dalam anugerag uni akan memberikan saya keyakinan untuk memimpin lebih ramai wanita di negara ini,” katanya sambil memberitahu sikap gemar turun kepada padang membantu masyarakat yang diwarisi daripada arwah bapanya.

Undian umum dibuka mulai 14 September lalu hingga 10 Oktober depan dan ditutup secara rasmi tepat pukul 12 tengah malam esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast