Antara individu termasuk warga emas yang didapati berjudi haram dalam telefon bimbit di dalam pusat judi berselindung di sebalik restoran makanan di Ibu negara ditumpaskan semalam. - Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Kegiatan judi haram beroperasi secara berselindung di sebalik restoran makanan terbongkar selepas diserbu oleh polis.

Pelanggan restoran rata-ratanya warga emas leka bermain judi haram dalam telefon bimbit selepas menjamu selera antara individu yang dicekup polis dalam restoran tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, satu serbuan telah dilakukan oleh pihaknya ke atas sebuah premis perniagaan di Taman Sri Sinar Segambut di ibu negara semalam.

“Setelah pemeriksaan selesai dijalankan polis berjaya menahan seramai tujuh orang yang terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, seorang wanita warga asing yang merupakan penjaga premis serta lima orang lelaki warga tempatan yang merupakan pelanggan di restoran tersebut di mana kesemuanya berusia di antara 40 hingga 75 tahun.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kegiatan perjudian ini berselindung di sebalik sebuah restoran makanan dan dipercayai telah beroperasi sejak dua minggu yang lepas,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, semasa serbuan, seramai lima orang pelanggan dilihat sedang leka bermain judi di atas talian dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing di sebuah bilik khas di restoran tersebut.

Susulan daripada tangkapan, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM720, tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama, seunit modem, seunit wifi router ,tiga meja panjang dan tujuh buah kerusi plastik disyaki digunakan untuk judi haram itu.

Kesemua suspek kini telah ditahan di IPD Sentul bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6 (1)(c) Akta imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, Seksyen 4 (1) (c) ARJT 1953 kerana menguruskan talian pertaruhan aktiviti perjudian dan Seksyen 6 (1) ARJT 1953 kerana bermain judi atas talian. – MalaysiaGazette