Sesi ujian diadakan sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya yang membabitkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara. Foto Ihsan Rapid Rail.

PUTRAJAYA – Sesi ujian migrasi bagi Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa Dua akan diadakan bermula esok sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Amir Hamdan berkata, sesi ujian itu diadakan sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya yang membabitkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara.

Beliau berkata, tren ujian itu akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dan tidak akan mengambil penumpang.

“Kita akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan oleh kontraktor bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi. Kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti sedia ada ketika ujian dijalankan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjangkakan operasi MRT laluan Putrajaya Fasa Dua akan beroperasi pada Januari 2023 dengan Fasa Satu sudah beroperasi sejak Jun tahun lalu.

MRT Laluan Putrajaya itu mempunyai sembilan stesen baharu iaitu Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.

Sementara tiga stesen laluan Kajang iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat serta Sungai Buloh yang beroperasi pada 2016 dan ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi kerja pemindahan stesen untuk menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya baharu juga dibuka semula.

Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara selain ia turut menghubungkan laluan lain seperti perkhidmatan KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.

Dalam pada itu, Amir berkata, bagi mengelakkan penumpang keliru ketika sesi ujian migrasi itu dijalankan pihaknya akan memasang notis pada pintu tren berkenaan untuk melarang pengguna daripada memasukinya.

“Pihak operasi sudah menampal notis dan pengumuman di stesen turut dijalankan bagi makluman penumpang. Makluman menerusi platform media sosial Rapid KL turut dijalankan,” katanya.

Maklumat lanjut, hubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03 78852585. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast