Ustaz Zul Ramli Mohamad Ghazali terharu menerima penganugerahan gelaran Tokoh Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang tahun 2022 / 1444 Hijrah di Kuantan hari ini

KUANTAN – Pendakwah bebas, Ustaz Zul Ramli Mohamad Ghazali terharu menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang tahun 2022 / 1444 Hijrah di sini hari ini.

Anugerah disampaikan Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau, 56, yang berasal daripada Kuala Tembeling, Jerantut berkata, ia akan menjadi api yang menyemarakkan lagi semangatnya meneruskan usaha memupuk semangat kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW.

Ustaz Zul Ramli Mohamad Ghazali, 56 menerima penganugerahan gelaran Tokoh Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang tahun 2022 / 1444 Hijrah hari ini

“Daripada umur 17 tahun lagi, saya sudah mula ke masjid-masjid di Jerantut, bermulanya saya berceramah dan berkembang sehingga sekarang,” katanya.

Penceramah yang turut menjalankan kelas pengajian, tarbiah dan motivasi di masjid-masjid juga terlibat dalam Program Bina Insan untuk petugas barisan hadapan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Selain sering kali muncul di kaca televisyen, Zul Ramli juga merupakan penulis buku U Turn Ke Jalan Lurus, R&R Di Lebuhraya Kehidupan, Jangan Buat Baik, Turning Point dan merupakan Ketua Editor Majalah Agama Q&A keluaran Galeri Ilmu.

Sementara itu, Wan Hilmy Wan Mohamed selaku Pengetua Madrasah An Nabawiyyah (Lil Banin), Pulau Tawar dan Madrasah An Nabawiyyah (Lil Banat) Bandar Jerantut diberikan Anugerah Ummah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang tahun ini.

Penerima Anugerah Tokoh Ummah, Wan Hilmy Wan Mohamed

Beliau yang merupakan Pengerusi Rehlah Islahiyyah dan Penasihat Syariha (MAPIM) Malaysia dan pernah menjadi imam di Makki Masjid Fuji dan Surau Malaysia Ichikawa, Jepun.

Pemenang Anugerah Daie bagi tahun ini pula ialah Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Mohd Roslan Mohd Saludin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dasar Halal Negeri Selangor.

Wan Hilmy pernah diberikan Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan  pada tahun 2019 susulan sumbangan dalam memperkasa dan mempromosikan industri halal.

Dalam pada itu, anugerah terakhir yang diberikan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang tahun ini adalah Anugerah Pendidikan yang diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Kempadang.

Anugerah Pendidikan diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Kempadang

Sekolah Kebangsaan Kempadang ialah sebuah Sekolah Amanah Malaysia yang telah dicalonkan sebagai finalis 3 Teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang dilancarkan pada tahun ini.

Sebanyak 32 kontinjen mewakili jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan sekolah terlibat dalam perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang dari Taman Gelora ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pagi tadi.

Perarakan diketuai Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.- MalaysiaGazette