Antara kain rentang yang digantung di bahu jalan Kota Tinggi petang semalam.

JOHOR BAHRU – Polis mengingatkan mana-mana individu atau kumpulan supaya tidak menimbulkan provokasi yang boleh menggugat keamanan awam terutama membabitkan  isu politik.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata demikian susulan mengesan enam tempat awam yang digantung kain rentang yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati penduduk mengenai isu politik dan calon PRU-15.

“Mana-mana pihak yang ingin menggantung sebarang kain rentang atau sebagainya perlulah mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Daerah Kota Tinggi.

Pihak polis ingin menasihati mana-mana individu atau kumpulan ini supaya tidak mencetuskan provokasi yang akan menggugat keamanan daerah Kota Tinggi.

“PDRM Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum  penjara selama tempoh dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya.

Manakala di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, pesalah dan disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya,” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan kain rentang bertulis “Dari Khaled baik Halimah” yang digantung di bahu jalan sekitar Kota Tinggi.

Terdapat juga kain rentang yang ditulis ‘‘Orang muda undi anak watan’; ‘PRU15 untuk anak watan’ dan ‘Belia Felda tolak calon luar’.- MalaysiaGazette