Sulaiman (tengah) menyampaikan pentauliahan kepada peguam syarie sambil disaksikan Mohd Nadzri (kanan) pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kes permasalahan rumah tangga di Melaka mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 4,134 fail dibuka dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 3,367 kes sepanjang tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, peningkatan sebanyak 22.7 peratus atau 767 kes itu menyaksikan kes Mal penyumbang tertinggi tahun ini iaitu sebanyak 3,074.

Mal ialah tuntutan yang dibuat oleh pelanggan di Mahkamah Syariah berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan dan harta benda terhadap suatu pihak yang lain.

“Manakala bagi kes penceraian pulak menyaksikan 1,212 kes sudah diselesaikan pada tahun ini setakat September lalu merangkumi kes fasakh, pengesahan lafaz cerai, tebus talak dan takliq.

“Tahun lalu sebanyak 1,504 kes berjaya diselesaikan selain 1,924 kes pada 2020,” katanya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata statistik itu sekaligus menunjukkan kes didaftarkan memerlukan bantuan dan kecekapan peguam syarie bagi membantu mahkamah syariah mempercepatkan penyelesaian kes dalam tempoh yang munasabah.

“Mahkamah memerlukan peguam yang dapat membantu menjelaskan undang-undang substantif dan prosedur untuk mengelakkan salah faham di antara masyarakat dan mahkamah.

“Peguam syarie hendaklah sentiasa istiqamah dalam perjuangan dan berusaha menghindari kezaliman bukan hanya mementingkan kemenangan kes semata-mata,” katatanya.

Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Kali Ke-7 hari ini menyaksikan seramai 137 peguam menerima pentauliahan masing-masing yang disampaikan Sulaiman.

Ia menjadikan Melaka mempunyai seramai 542 peguam syarie dengan 60 daripadanya berdaftar sebagai ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia Melaka (PGSM) – MalaysiaGazette.