Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman pembubaran Parlimen yang membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  – ia memberi harapan kepada pengundi baharu terutama golongan muda yang pertama kali mengundi.

Walaupun langkah memulangkan semula mandat rakyat untuk memilih parti politik membentuk kerajaan namun proses demokrasi kali ini mendapat pelbagai reaksi.

Bagi Falahin Najihah Noorhaidi, 28, yang bekerja di sektor logistik menyifatkan langkah pembubaran Parlimen kali ini sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Falahin Najihah Noorhaidi. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

Katanya, negara masih belum stabil dek impak pandemik dan bencana banjir yang bakal melanda seperti ramalan.

Tambah beliau, terlalu banyak isu sedang berlaku membuatkan beliau mahu kerajaan sekarang menyelesaikan dahulu masalah sebelum ke kancah pilihan raya.

Tambah Falahin, kerajaan perlu memikirkan masalah lebih utama termasuk mengurangkan beban penduduk miskin.

“Malaysia ini adalah sebuah negara yang membangun, kita harap jumlah kemiskinan pun berkurang, supaya sejajar dengan arus permodenan negara” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bagi adiknya, Fatihah Nazirah Noorhaidi, 23, yang bakal mengundi buat pertama kali mahu pemimpin yang boleh mentadbir negarab dengan elok serta lebih baik berbanding yang terdahulu.

Fatihah Nazirah Noorhaidi. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

“Kita nak yang boleh memberi manfaat yang lagi bagus kepada rakyat. Sebelum-sebelum ini bagus cuma kita harapkan pemimpin yang boleh beri lebih kepada rakyat.

“Kita nak kerajaan baru yang akan dibentuk ini menjadikan Malaysia negara yang lebih membangun, mementingkan keselamatan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Bagi Fatin Nazirah, 27, penganalisis di sebuah bank pula berpendapat, keputusan pembubaran Parlimen semalam tidak memuaskan hati ramai namun akur kerana sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Fatin Nazirah. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

Namun katanya sebagai rakyat beliau tetap akan patuh dengan tanggungjawabnya keluar mengundi.

Menurutnya, beliau mahu seorang pemimpin yang baik dan bersih.

“Kita pun tahu tak banyak pilihan, saya hanya mahu seseorang yang betul-betul boleh mengembalikan Malaysia ke zaman kegemilangannya.

“Yang adil, yang tidak ‘berlumuran’ dengan kes korupsi. Walaupun kecil kemungkinan kewujudan pemimpin seperti itu, saya percaya di luar sana ada seseorang yang boleh diharapkan,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan Jun Wei, 26, yang bekerja di salah sebuah bank dalam negara.

Jun Wei. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

Beliau yang bakal mengundi buat kali pertama mahu calon yang progresif dan bersih dari segala unsur korupsi.

Wei juga mengharapkan kerajaan yang lebih stabil selepas PRU-15 nanti.

“Saya harap tiada tukar sini tukar sana. Just a strong, stable government that can help our economy. Bantu golongan B40, fokus terhadap kenaikan pendapatan dan jurang perbezaan gaji.

“Di Australia, pelayan restoran mampu mendapat pendapatan lebih tinggi berbanding sektor korporat di Malaysia,” katanya lagi.

Bagi Fakhri Ahmad Nasarudin, 28, seorang penyunting video yang berpendapat pengumuman pembubaran Parlimen semalam adalah wajar malah sepatutnya ia dibuat lebih awal lagi.

Fakhri Ahmad Nasarudin. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

Katanya, sejak Pakatan Harapan (PH) digulingkan, negara mula mengalami ketidakstabilan politik.

“Sepatutnya masa tu lagi kita dah patut buat PRU-15 sebab kerajaan yang memerintah sekarang majoritinya tipis serta tidak stabil.

“Harapnya PRU dapatlah dibuat sebelum monsun yang dijangka melanda pada pertengahan November ini” katanya.

Apabila ditanya mengenai kriteria calon yang diingininya, Fakhri mahu seseorang yang mesra rakyat, berkarisma dan boleh memikirkan cara terbaik untuk atasi masalah ekonomi ekonomi.

“Bank Dunia ada kata, kita akan mengalami  kemelesetan ekonomi pada tahun depan. Pemimpin yang kita akan pilih kena tahu macam mana nak mengatasi atau sekurang-kurangnya kurangkan impak yang mendatang” ujarnya lagi.

Schubrian Suhaime, 23, pekerja teknologi maklumat pula  berkata, membubarkan Parlimen di ketika negara diramal mengalami bencana adalah taktik politik.

Pekerja IT Bank, Schubrian Suhaime. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

“Waktu yang paling baik untuk pilihan raya adalah bila semua isu dah selesai ditangani sebenarnya.

“Ekonomi pun dijangka akan merosot pada tahun depan, walaupun pun sudah dibentangkan, buatlah pilihan raya selepas segala isu selesai.

“Kalau ikut tarikh pun tahun depan sepatutnya PRU tapi diawalkan” katanya.

Katanya lagi, semua parti ada agenda dan manifesto sendiri namun asalkan boleh tepati janji, laksanakan tanggungjawab, mereka wajar beri peluang.

“Jadi ahli-ahli politik yang boleh laksanakan tanggungjawab yang mereka katakan, bukan sekadar bermanis mulut. Kita nak kerajaan yang konsisten, sejak PRU lalu kita alami kerajaan paling tak konsistem dalam sejarah.

“Dalam masa empat tahun kita bertukar dua kerajaan, PH dan sekarang, gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya sambil menambah perkara itu tidak bagus untuk ekonomi negara dan kestabilan politik.

Bercakap mengenai harapan orang muda, beliau mahu hak-hak mereka tidak ditolak atau dinafikan.

Kerajaan yang akan datang, katanya, perlu ambil tumpuan terhadap masalah-masalah golongan muda dari segi bantuan kewangan, pendidikan mahu pun kerjaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast